Dr M tidak setuju MAS tamat penerbangan terus ke Langkawi
Tun Dr Mahathir Mohamad orang yang bertanggungjawab 'menyelamatkan' Langkawi daripada sumpahan Mahsuri tidak bersetuju dengan keputusan Penerbangan Malaysia (MAS) menamatkan penerbangan terus London-Langkawi.
Tun Dr Mahathir Mohamad orang yang bertanggungjawab 'menyelamatkan' Langkawi daripada sumpahan Mahsuri tidak bersetuju dengan keputusan Penerbangan Malaysia (MAS) menamatkan penerbangan terus London-Langkawi.
Sewaktu pentadbirannya, bekas Perdana Menteri itu telah menjadikan Langkawi sebuah pulau bebas cukai dan pusat tumpuan pelancong. Ekoran itu, kos hartanah di pulau itu melambung dan ramai penduduknya menjadi jutawan segera.
Dr Mahathir berkata, tindakan syarikat penerbangan negara itu boleh menjejaskan industri pelancongan di Langkawi.
Baru-baru, MAS yang mempunyai dua penerbangan terus setiap minggu bagi laluan tersebut, memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan bagi laluan berkenaan kerana tidak menguntungkan.
"Langkah berkenaan merugikan sektor pelancongan Langkawi dan penduduk Langkawi sendiri," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Dialog Pembangunan Langkawi anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi hari ini.
Menurut laporan Bernama, bekas Perdana Menteri berkata syarikat penerbangan berkenaan harus mencari jalan bagi mengatasi kerugian yang dialami bagi laluan berkenaan.
Pelancongan Langkawi
"Saya berharap MAS tidak menghentikan laluan itu, cari jalan bagaimana nak atasi kerugian berkenaan. Kedatangan pelancong London memberi manfaat pelancongan Langkawi," katanya.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid yang turut bersama dalam sidang media itu berkata, kerajaan negeri telah menulis kepada pihak pengurusan MAS supaya mengkaji semula tindakan menamatkan laluan itu.
Katanya, kerajaan negeri juga telah menulis kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy meminta dilaksanakan konsep langit terbuka bagi penerbangan antarabangsa ke Langkawi yang membolehkan banyak syarikat penerbangan antarabangsa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
LANGKAWI, 3 April (Bernama) -- "Sentiasalah senyum kepada pelancong dan belajarlah bahasa Inggeris supaya kita dapat menyapa mereka," kata Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati penduduk Langkawi.
"Bagaimanapun, masih banyak lagi perlu dilakukan dalam usaha menjadikan Langkawi sebagai pusat pelancongan terkenal. Ia melibatkan kerjasama semua pihak -- kerajaan persekutuan, negeri, penduduk Langkawi, pihak pelancongan dan lain-lain lagi," kata bekas perdana menteri itu yang dikenali sebagai arkitek pembangunan pulau pelancongan bebas cukai ini.
Katanya Langkawi mampu menjadi setaraf Bali sekiranya kerajaan persekutuan dan negeri terus berganding bahu menjayakan pembangunan sektor pelancongan di pulau itu.
Membangun pesat
"Kerajaan pusat telah membelanjakan sebanyak RM2 bilion bagi pembangunan di Langkawi dan jumlah itu belum lagi mencukupi kerana banyak lagi yang perlu dilakukan," katanya semasa menyampaikan ucap utama pada Dialog Pembangunan Langkawi anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa acara antarabangsa, termasuk Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA), telah menempatkan Langkawi di peta dunia.
Dr Mahathir yang pernah bertugas sebagai doktor kerajaan di Langkawi pada 1951 berkata, pada tahun 50-an, hanya kira-kira 1,000 pelancong yang berkunjung ke pulau itu setahun, itupun kebanyakannya penduduk tanah besar Kedah.
"Sekarang Langkawi telah membangun dengan pesat dengan menerima dua juta pelancong setahun, dengan 30 peratus daripadanya pelancong asing," katanya.
Katanya setiap penduduk Langkawi telah merasai faedah daripada pembangunan pelancongan berkenaan seperti mendapat peluang perniagaan dan pekerjaan.
Dalam usaha memberi layanan lebih baik kepada pelancong, beliau mahu penduduk Langkawi lebih mesra kepada pelancong dan sentiasa bersikap ramah mesra.
Majlis itu, yang dihadiri para pengusaha pelancongan, pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan, bertujuan membincangkan hala tuju pembangunan Langkawi dalam tempoh lima tahun akan datang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.