Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Masa depan Asean tidak boleh ditentukan oleh China atau AS

Masa depan Asean tidak boleh ditentukan oleh China atau Amerika Syarikat (AS), kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menggesa anggota perkumpulan serantau itu untuk mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua kuasa besar itu.

“Cara terbaik untuk mereka (ASEAN) adalah untuk libat urus dengan kedua-dua negara untuk kelangsungan hidup dan kejayaan ekonomi kita.

“Kita perlu mengekalkan hubungan baik mesra cemerlang dengan kedua-dua Timur dan Barat,” katanya dalam dialog pada Sidang Kemuncak Asia Institut Milken pada Khamis malam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu ditanya mengenai masa depan ASEAN sebagai perkumpulan serantau berdepan potensi berpecah disebabkan persaingan antara Washington dan Beijing.

Anwar menzahirkan keyakinan beliau bahawa wujud peluang dan “kita perlu melihat melangkaui masalah semasa dan melihat apa juga manfaat yang kita boleh perolehi.”

“Saya lebih yakin jika anda boleh mendapatkan khidmat cerdik pandai terbaik dalam kalangan negara-negara… dengan sokongan antarabangsa, kita boleh tangani masalah ini.”

Beliau percaya perang perdagangan tidak akan menjejaskan dengan teruk hubungan antara negara anggota ASEAN kerana hubungan antara mereka cenderung untuk diterima walaupun terdapat cabaran.

Memberikan contoh situasi jerebu ketika ini, Anwar berkata: “Kami dalam ASEAN perlu menanganinya dengan idea daripada semua kerajaan.

“Saya yakin kerana dalam soal ini anda boleh mendapatkan kerajaan-kerajaan dalam ASEAN untuk mengkajinya. Jika mereka tidak berbuat demikian, dengan itu akan timbul rasa marah dalam kalangan orang ramai kerana ia menjejaskan jutaan orang.”

Anwar menegaskan bahawa tiga negara yang terjejas – Indonesia, Malaysia dan Singapura - perlu sama-sama memikul tanggungjawab dan “berbuat sesuatu.”

“Ia bukan untuk saling menyalahkan antara (ketiga-tiga negara)... ada pihak mengatakan Indonesia yang bersalah tetapi syarikat-syarikat Malaysia terlibat dan Singapura mempunyai banyak saham di sana.”

Namun, beliau berharap syarikat yang terlibat dalam kebakaran yang menyebabkan jerebu dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka.

“Sekurang-kurangnya (mereka patut) menggabungkan sumber mencukupi untuk membantu mengurangkan masalah (dan) tidak menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan,” kata Anwar.

Kualiti udara di sebahagian kawasan di Indonesia, Malaysia, Singapura dan selatan Thailand terjejas teruk disebabkan kebakaran hutan berterusan di kawasan berhampiran Sumatera dan Borneo.

- Bernama

Lihat Komen
ADS