Rakyat harus bantah FTA dengan AS, kata Teras
Rakyat harus membantah dan mendesak kerajaan supaya jangan menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat kerana kesannya boleh menjejaskan kedaulatan negara, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid.
Rakyat harus membantah dan mendesak kerajaan supaya jangan menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat kerana kesannya boleh menjejaskan kedaulatan negara, kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau berkata, pihaknya sedia mengetuai gerakan tersebut yang perlu dibuat sekarang sebelum kerajaan menandatangi perjanjian FTA itu.
"Persatuan sekerja, petani, peladang, nelayan, pekilang dan sesiapa sahaja perlu membantah dan mendesak kerajaan supaya membatalkan rancangan FTA itu," katanya dalam forum bertajuk Ekonomi Getah Nangka di ibu negara semalam.
Forum anjuran Teras itu bertujuan untuk memberi penerangan mengenai kesan yang akan diterima oleh negara jika menandatangani FTA dengan Amerika.
Azmi berkata, Kerajaan Malaysia telah memulakan rundingan dengan Amerika Syarikat bagi membolehkan negara mengadakan FTA di antara kedua-dua negara. Sebelum itu, Malaysia telah menandatangani FTI dengan Jepun.
Katanya, buat permulaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) boleh memulakan langkah untuk membantah perundingan tersebut.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata, pihaknya bercadang
membawa isu ini kepada Majlis Raja-Raja kerana ia ada hubungkait dengan kepentingan negara.
'Cubaan kedua AS'
Katanya, pihaknya akan membincangkan perkara ini dengan NGO sebelum keputusan dibuat.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberi penerangan yang jelas kepada rakyat mengenai kandungan FTA itu.
"Isu FTA ini besar kerana ia membabitkan kedaulatan negara dan oleh kerana itu satu pendapat umum perlu dibuat," katanya yang turut hadir di majlis tersebut.
Beliau berkata, Ahli Parlimen perlu membangkitkan persoalan ini dan membincangkannya secara mendalam sebelum satu keputusan mengenai FTA dibuat.
Mahfuz juga bertanya mengapa kerajaan menyembunyikan rundingan FTA dengan Amerika itu, sedangkan isu tersebut ada hubungkait dengan kepentingan negara dan rakyat.
Beliau bimbang, FTA tersebut bukan setakat membabitkan soal perdagangan tetapi budaya asing yang akan dibawa oleh orang Amerika ke negara ini.
Bekas Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ibrahim Ali yang hadir sama di majlis tersebut berkata, isu FTA ini sudah lama dirundingkan tetapi tidak berjaya kerana syarat keras yang dikenakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, kini Amerika mencuba sekali lagi dan cuba menekan kerajaan yang ada supaya menerima FTA itu sebagaimana yang mereka lakukan terhadap Singapura dan Thailand.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.