Saksi: Pengikut Ayah Pin mengaku keluar Islam untuk elak tindakan
Dua saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini bahawa bekas seorang ustazah yang dituduh murtad, membuat pengakuan keluar dari Islam bagi mengelak dikenakan tindakan.
Dua saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini bahawa bekas seorang ustazah yang dituduh murtad, membuat pengakuan keluar dari Islam bagi mengelak dikenakan tindakan.
Ini kerana dia mengingkari perintah pihak berkuasa agama dengan berada di kediaman ketua ajaran Ayah Pin di Besut pada pertengahan tahun lalu.
Saksi pertama Yusof Salleh, 42, pegawai penguatkuasa syariah Jabatan Hal-Ehwal Agama Terengganu berkata, tindakan Kamariah Ali, 55, membuat pengakuan itu supaya mahkamah menggugurkan tuduhan terhadapnya kerana kesalahan di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
Yusof berkata, ini kerana sebelum itu mahkamah telah menggugurkan pertuduhan terhadap seorang pengikut Ayah Pin, iaitu wanita warga New Zealand, Judith Lilian McDonald yang menyatakan bahawa beliau beragama Kristian.
"Pada peringkat awal, seramai 30 tertuduh wanita dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan di bawah Seksyen 10 enakmen tersebut. Kemudian mahkamah menggugurkan tuduhan terhadap tiga tertuduh atas permintaan pendakwa.
Tuduhan digugurkan
"Selepas itu, pertuduhan dibacakan serentak terhadap 27 lagi pengikut wanita dan apabila tiba giliran seorang perempuan rakyat New Zealand membuat pengakuan, beliau (Judith) berkata dia tidak faham pertuduhan yang dibacakan dan dia mengaku dirinya beragama Kristian sejak dari kecil.
"Pihak pendakwa kemudian meminta pertuduhan digugurkan terhadapnya. Apabila tiba giliran Kamariah membuat pengakuan, dia mengaku tidak bersalah terhadap Seksyen 10 (enakmen itu) dan mengaku sudah keluar dari Islam dalam dialek Kelantan," katanya semasa menjawab soalan utama pihak pendakwa.
Menurut laporan Bernama, Kamariah didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana mengaku bukan Islam.
Bekas ustazah itu dituduh membuat kenyataan keluar dari Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek pada 12.50 tengah hari 21 Julai tahun lalu di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.
Mengikut seksyen berkenaan, dia boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Yusof berkata, beliau mendengar Kamariah membuat pengakuan itu kerana pada waktu itu beliau berada dalam mahkamah tersebut bagi membantu Ketua Pendakwa Syarie membuat pendakwaan terhadap para pengikut Ayah Pin atas kesalahan mengingkari perintah pihak berkuasa agama.
Gulung hujah pada 13 Jun
Sementara itu, Salahudin Embong, 41, pembantu hakim di Mahkamah Rendah Syariah Besut berkata, beliau turut mendengar pengakuan Kamariah itu apabila beliau bertanyakan tentang pengakuan daripada bekas ustazah itu selepas pertuduhan dibacakan serentak terhadap 27 pengikut wanita kumpulan Ayah Pin.
"Pada pandangan saya, dia berbuat (mengaku) demikian agar tuduhan terhadapnya digugurkan kerana sebelum itu mahkamah telah membebaskan seorang wanita rakyat New Zealand yang mengaku beliau bukan Islam," katanya yang merupakan saksi keempat dalam perbicaraan kes tersebut.
Saksi kedua, Wan Mohamad Wan Yaakob, pegawai pendaftaran serta pegawai rekod Jabatan Pendaftaran Negara Kelantan pula berkata, mengikut data maklumat Kamariah pada 1 Oktober 2004, status agama bekas ustazah itu adalah Islam.
Empat saksi memberikan keterangan dalam perbicaraan kes tersebut yang berlangsung selama sehari.
Hakim Mohammad Abdullah menetapkan 13 Jun depan untuk peguambela membuat hujah penggulungan sementara 20 Jun untuk pihak pendakwa.
Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah manakala Kamariah diwakili peguam, Sa'adiah Din.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.