Tindakan disiplin sukarkan Umno Kelantan
Tindakan disiplin yang dikenakan ke atas beberapa pemimpin Kelantan, termasuk bekas ketua Umno bahagian Pasir Putih, Kamarudin Mohd Nor, telah menyulitkan lagi usaha Umno negeri menambah kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Kelantan.
Ahli jawatankausa penerangan Umno negeri, Datuk Haji Rozali Isohak berkata masalah utama yang dihadapi oleh Umno negeri ialah perpaduan ahli dalam meningkatkan usaha untuk menewaskan kerajaan PAS di Kelantan.
Bulan lalu Jawatankuasa Disiplin Umno melucutkan jawatan beberapa pemimpin parti yang melanggar tata etika berkempen semasa pemilihan bahagian tahun ini.
Barisan Nasional (BN) hanya memenangi dua daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri - Galas dan Paloh - dalam pilihanraya umum yang lalu. Satu-satunya kerusi parlimen BN di Kelantan disandang oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang mewakili kawasan Gua Musang.
Kamarudin seorang pemimpin Umno yang berpengaruh, khususnya di Kelantan, menurut Rozali
"Tindakan disiplin terhadapnya menjejaskan perpaduan ahli dan kekuatan Umno di bahagian Pasir Putih," kata beliau yang juga bekas ketua penerangan BN Kelantan.
Jawatan ketua bahagian Pasir Putih kini diambil alih oleh Datuk Mustapha Muhammad yang juga pengerusi Umno negeri Kelantan.
Sepatutnya, kata Rozali, tindakan DAP keluar daripada Barisan Alternatif (BA) menjadi "faktor pembantu" dalam menguatkan lagi pengaruh Umno di Kelantan.
Perpaduan terjejas
Bagaimanapun, katanya, tindakan disiplin yang dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan oleh Tengku Ahmad Rithauddeen ke atas Kamarudin dan beberapa lagi pemimpin Umno di peringkat bahagian baru-baru ini telah "memberi kesan" terhadap perpaduan parti itu di Kelantan.
Rozali turut berkata beliau menerima keputusan jawatankuasa berkenaan kerana Umno juga perlu bertindak tegas dalam menghapuskan gejala politik wang dalam semua peringkat parti itu.
"Tetapi di Kelantan, tindakan disiplin itu juga menjejaskan perpaduan di kalangan ahli kerana mereka yang terbabit merupakan pemimpin yang berpengaruh di peringkat bahagian dan cawangan," tambah beliau.
Mengenai tindakan DAP keluar daripada BA, Rozali berkata beliau tidak terkejut "kerana mereka sentiasa bergaduh mengenai isu penubuhan negara Isalam".
"Lagipun kita sudah menjangka ia akan berlaku. Perjuangan DAP dengan PAS berbeza - DAP dengan konsep 'Malaysian Malaysia' manakala PAS pula dengan negara Islamnya. Sebenarnya matlamat kedua-dua parti itu hanyalah untuk menang dalam pilihanraya," tambahnya.

