Seorang pembantu rumah memberitahu Mahkamah Pilihanraya di Kota Bharu hari ini bahawa beliau tidak dibenarkan mengundi pada pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Pasir 6 Disember lalu, dengan alasantelahpun mengundi pada sebelah paginya.

Zainab Mat Jusoh, 49, memberitahu Hakim Datuk Hasan Lah, ketika menyemak namanya untuk mengundi di Sekolah Menengah Perempuan Pasir Mas, ejen tempat mengundi memaklumkan kepadanya beliau tidak boleh mengundi.

"Saya keluar ke tempat mengundi pukul 12 tengah hari. Sampai di sana, mereka tak benarkan saya mengundi dan berkata saya sudah mengundi pada sebelah pagi. Jadi saya terus baliklah," katanya.

Beliau memberitahu demikian dalam perbicaraan petisyen oleh PAS bagi membatalkan keputusan pilihanraya itu yang dimenangi oleh Hanafi Mamat daripada Barisan Nasional Hanafi Mamat yang mengalahkan calon PAS.

Pada 4 Januari lalu, PAS melalui seorang pengundi berdaftar di kawasan Pengkalan Pasir yang juga Setiausaha Pemuda Pas negeri, Mohd Ridza Zain, memfailkan petisyen mencabar keputusan itu, dengan menamakan Hanafi sebagai responden pertama selain Pegawai Pengurus Pilihanraya Pengkalan Pasir, Abdul Halim Ahmad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Menurut laporan Bernama, Hanafi diwakili 10 peguam diketuai Tan Sri Zaki Tun Azmi manakala PAS diwakili oleh 11 peguam diketuai Mohamad Ariff Yusof.

Zainab berkata, semasa dalam perjalanan pulang, beliau didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menasihatkannya supaya membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Laporan polis

Beliau kemudiannya membuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas.

Ketika disoal balas peguam responden, Zainab menafikan telah keluar mengundi pada sebelah pagi dan tidak memberikan kad pengenalannya kepada orang lain.

Pada perbicaraan hari ini, pihak pempetisyen mengemukakan lapan saksi bagi menyokong dakwaan berlakunya penyamaran atau 'pengundi hantu' pada pilihanraya kecil itu.

Seorang lagi pengundi berdaftar Yusuf Harun, 57, dari Slow Machang, Pasir Mas, memberitahu mahkamah, beliau juga tidak dapat mengundi kerana didakwa telah berbuat demikian pada sebelah pagi.

Yusuf berkata beliau keluar mengundi di SK Tanjung Chenak pada pukul 1 tengah hari dan terus pulang ke rumah apabila tidak dibenarkan mengundi.

Tiga saksi turut dipanggil bagi membuktikan ada individu lain yang mengundi bagi dua pengundi berdaftar yang telah meninggal dunia iaitu Siti Habsah Daud yang didakwa meninggal ketika mengerjakan haji pada 1990 dan Nik Che Awang yang meninggal dunia pada 1999.

Tiga ejen tempat mengundi dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan berlakunya penyamaran dalam pilihan raya berkenaan. Perbicaraan disambung pagi esok.