Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesawah Kedah gelisah baja subsidi belum tiba
Diterbitkan:  Sep 23, 2019 10:38 AM
Dikemaskini: 2:40 AM

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum masuk musim penanaman padi, namun baja subsidi setakat ini belum diagih, membuatkan kira-kira 100,000 pesawah di Kedah dirundung gelisah.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kedah, Abdul Lateh Mohd Saman, sawah-sawah ketika ini dalam proses dibajak dan hanya menunggu masa untuk untuk proses penyemaian benih, seperti yang dijadualkan.

Namun yang menjadi kebimbangan, katanya, syarikat pembekal baja yang dilantik kerajaan belum berbincang dengan pertubuhan peladang kawasan (PPK) untuk pengagihan.

“Kelewatan pengagihan baja akan mengganggu tumbesaran padi, menjejaskan penghasilan dan pendapatan pesawah,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Tambah Abdul Lateh, semua jadual penanaman padi diatur di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Selain itu, dia turut meminta kerajaan menunaikan janji untuk mengembalikan subsidi dan insentif kepada pesawah seperti tahun lepas, memandangkan kos sara hidup yang kian meningkat.

Katanya, pengurangan pendapatan akan menyebabkan pendapatan pesawah juga berkurang, memandangkan harga beras tidak berubah.

“Harga beras tetap sama manakala harga padi pula tidak dinaikkan oleh pengilang kecuali peratusan beras hancur ditambah dalam beras yang dijual,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS