Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aliran keluar ekuiti Malaysia terendah di Asean
Diterbitkan:  Sep 23, 2019 11:57 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Aliran keluar ekuiti daripada bursa tempatan kekal terendah dalam kalangan pasaran Asean disebabkan ketidaktentuan yang berterusan dalam ekonomi global.

Menurut MIDF Research, berdasarkan data daripada Bursa Malaysia, pelabur asing menjual ekuiti tempatan bernilai RM249.3 juta bersih minggu lepas, melibatkan jualan bersih asing selama 25 minggu setakat ini.

"Bagaimanapun, bagi bulan September, setakat ini pelabur antarabangsa menjual RM335.8 juta bersih, terendah dalam kalangan pasaran Asean. Pada asas terkini tahun ini, dana antarabangsa telah mengeluarkan RM7.68 bilion nilai ekuiti tempatan daripada Bursa," katanya dalam laporan aliran dana mingguannya.

Katanya pasaran bermula pada kadar positif minggu lepas selepas hujung minggu yang panjang berikutan dana antarabangsa membeli RM56.8 juta bersih pada Selasa, meningkatkan bursa tempatan 0.2 peratus lebih tinggi untuk ditutup pada 1,604.3 mata, tertinggi dalam tempoh lima hari dagangan.

"Kemasukan dana asing dalam saham yang disenaraikan di Bursa bertentangan dengan trend berikutan pasaran lain mencatatkan aliran keluar bersih asing susulan serangan dron ke atas kemudahan minyak Arab Saudi," katanya.

Katanya majoriti pasaran ekuiti di seluruh dunia ditutup bercampur-campur minggu lepas berikutan keputusan mengenai kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

"Rabu lepas menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM40.5 juta bersih berikutan jangkaan keputusan oleh Rizab Persekutuan mengenai kadar faedah mengatasi sentimen positif daripada pemulihan sebahagian pengeluaran minyak Arab Saudi.

"Kadar aliran keluar bersih asing lebih dua kali ganda mencecah RM97.6 juta bersih pada Khamis berikutan penurunan kadar kedua pada tahun ini oleh Rizab Persekutuan, yang menyebabkan barometer pasaran saham tempatan merosot pada minggu itu sebanyak 0.30 peratus," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS