Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembangunan Kg Baru tak ambil kira faktor budaya, warisan - Arkitek

Pelan pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur kelihatan tidak mengambil kira nilai warisan budaya yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancong, kata seorang ahli sejarah dan warisan.

Ahli Jawatankuasa Pemuliharaan dan Warisan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Ahmad Najib Ariffin berkata, kawasan tradisi Melayu itu sememangnya terkenal sebagai pusat kegiatan kebudayaan orang Melayu, terutamanya sebagai tempat makan yang menarik.

“Nilai-nilai tidak ketara (intangible) tempat itu mestilah dipelihara,” katanya.

Kata Najib, negara-negara lain memelihara kampung-kampung kebudayaan mereka yang terletak di pusat bandar dan menjadikannya sebagai pusat tarikan pelancong.

“Semua tempat bersejarah dalam bandar di Jepun dan Eropah, merupakan lokasi tarikan pelancong yang tak ternilai.

“Contohnya, di Jepun, rumah-rumah tradisional Machiya di daerah Gion di Kyoto dipelihara bagi menawarkan pelbagai aktiviti warisan untuk pelancongan, ia menjana berbilion yen setiap tahun.

“Kampung Bukchon Hanok (di Korea Selatan) juga contoh yang baik. Kita kena belajar bagaimana hendak memanfaatkan warisan seperti ini untuk menjana keuntungan sosio-ekonomi,” kata Najib, yang pernah menghasilkan buku Traditional Architectural Heritage for Modern Malaysian Buildings (Warisan seni bina tradisi untuk bangunan moden Malaysia).

Kampung Baru juga kata Najib (gambar, atas) lagi mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai pusat tarikan pelancong seperti tempat-tempat tersebut.

“Kampung Baru menawarkan pelbagai makanan Melayu tempatan. Selain gerai-gerai makanan yang berderet di sana, ia juga ada pasar malam dan bazar Ramadan.

“Boleh buat sesi jalan-jalan buat pelancong, terutamanya bagi peminat warisan. Kita kena kekalkan, pelihara dan menggalakkan perkara ini, untuk menjana keuntungan sosio-ekonomi yang sama sebagaimana di Bukchon, Gion, dan bandar-bandar lama Eropah," tambahnya.

Najib yang juga merupakan pengasas bersama Akademi Pembangunan, Geobudaya dan Etnolinguistik Nusantara (Nadge), menekankan betapa pembangunan semula Kampung Baru tidak bermakna kawasan itu perlu menjadi hutan konkrit dan pencakar langit.

“(Bagi menjadikan) nilai warisan budaya sebagai tarikan pelancong ia memerlukan sebarang aspek sejarah, budaya dan warisan yang asal dikekalkan, bukannya ditukar atau dimodenkan, atau lebih teruk lagi, dimusnahkan atas nama ‘pembangunan’.

“Permodenan dialu-alukan, tapi hanya dalam aspek memberikan keselesaan, bukan ‘pengkonkritan’ dan ‘membina bangunan pencakar langit’, macam yang selalu digambarkan apabila disebut pembangunan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pembangunan semula Kampung Baru akan turut melibatkan pembinaan kawasan kediaman, termasuk bangunan-bangunan tinggi, menara korporat dan pusat beli-belah.

Bagi membangunkan semula kawasan itu, kerajaan membuat tawaran membeli tanah di Kampung Baru pada kadar RM850 per kaki persegi, sebagai pampasan kepada pemilik tanah dan waris mereka.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata usaha pembangunan semula Kampung Baru adalah demi menjaga kepentingan masyarakat Melayu di negara ini, seperti diperuntukkan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) 2011.

Kata Mahathir, sebahagian besar masyarakat Melayu tidak lagi memilih untuk menetap di Kampung Baru kerana ia tidak lagi selesa, menyebabkan warga asing mendiami dan menjalankan perniagaan di sana.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS