Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siswa M'sia guna sains data selesai isu kualiti tanaman makanan

Idea dua siswa Fakulti Perniagaan Universiti Monash kampus Malaysia untuk menggunakan aplikasi teknologi sains data dalam penghasilan makanan secara hidroponik membuahkan hasil apabila terpilih mewakili negara ke pertandingan akhir Asean Data Science Explorers (Aseande) National Finals 2019 di Bangkok, Thailand, pada Oktober depan.

Pasukan dari Universiti Monash itu menggunakan data karbon dioksida di udara untuk memastikan penghasilan produk pertanian makanan yang lebih berkualiti.

Leong Zhuan Kee, 22 dan Peh Wei Li, 22 dari Monash University kampus Malaysia akan bersaing dengan finalis Asia Tenggara lain.

Pertandingan ini mengajak peserta meneroka teknologi maklumat dan analisa data dalam memberi penyelesaian terhadap permasalahan kehidupan dan industri.

Peh menjelaskan aplikasi sains data rekaan mereka, berkata kepekatan karbon yang meningkat akan menghasilkan kualiti makanan yang lebih rendah, justeru, pasukannya tampil dengan penyelesaian dengan memastikan kualiti makanan dan hasil yang lebih tinggi untuk tumbuhan-tumbuhan.

"Seperti yang kita tahu, pemanasan global telah menjadi isu besar meskipun beberapa langkah kesedaran telah diambil namun tidak cukup kuat.

"Idea yang dicadangkan adalah untuk membantu memulakan tindakan bagi mengatasi masalah ini dengan melakukan perubahan terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Satu langkah kecil boleh membawa perubahan," katanya.

Peh juga berharap melalui penyelesaian inovatif ini, mereka dapat melihat perubahan dalam menangani masalah pengeluaran makanan pada masa hadapan sekiranya masalah perubahan iklim tidak ditangani.

Pasukan Universiti Monash itu juga mempromosikan pertanian hidroponik (sistem tanaman tanpa menggunakan tanah) dengan menggunakan aplikasi sains data.

Penyelesaian kedua adalah memberi tumpuan kepada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk sektor pertanian dengan membangunkan alternatif yang lebih murah untuk sistem hidroponik daripada segi kos dan penyelenggaraan yang lebih rendah.

Terdahulu Leong dan Peh diumumkan pemenang Malaysian National Finals 2019 pada 20 September lalu yang dianjurkan oleh Yayasan Asean dan syarikat pembagung teknologi perisian industri, SAP Malaysia.

Kedua pelajar ini menggunakan sains data bagi mencipta aplikasi untuk menangani isu kelestarian makanan di Asia Tenggara.

Projek tersebut berjaya dibentangkan di hadapan wakil-wakil dari Yayasan Asean, SAP, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Impact Hub.

Menurut pensyarah Fakulti Perniagaan, Dr Ewilly Liew Jie Ying, 33, penggunaan aplikasi sains data dalam isu kelestarian makanan di rantau Asia akan menjadikan para pelajar menjadi lebih kritikal dan kreatif dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu kelestarian makanan sekiranya terjejas.

“Kami menyediakan pelajar-pelajar kami untuk menjadi golongan yang bertanggungjawab dalam menghasilkan penyelesaian inovatif kepada isu-isu sebenar seperti kelestarian makanan yang akan melanda dunia jika (pengeluarannya) terjejas,” katanya.

Menurut Liew, beliau percaya pelajar seharusnya mempunyai minat yang mendalam untuk memupuk kreativiti dan merangsang penyelesaian berasaskan teknologi sains data dalam menangani isu sebenar kehidupan dan alam perniagaan.

“Saya selalu percaya bahawa pelajar mesti bermotivasi secara intrinsik dan berupaya untuk memupuk kreativiti serta merangsang penyelesaian inovatif (bagi) generasi akan datang terhadap isu dunia sebenar.

“Pelajar saya digalakkan untuk bertanya, meneroka dan mengembangkan minat penyelidikan mereka dalam kelas menggunakan pelbagai alat analisis (data)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, disoal mengenai persediaannya ke pertandingan itu, Leong berkata sebenarnya mereka belum bersedia untuk bersaing di peringkat akhir rantau Asia Tenggara.

"Kami belum bersedia. Saya baru tiba di Universiti Warwick semalam. Pasukan saya termasuk Dr Ewilly bersetuju untuk membenarkan saya menetap di sini terlebih dahulu sebelum bertanding di sana (Thailand).

"Walau bagaimanapun, kami telah mendapatkan beberapa maklum balas dari panel hakim dan pensyarah universiti semasa (di) peringkat kebangsaan. Jadi kita sudah ada idea yang perlu diperbaiki untuk peringkat seterusnya," kata pelajar jurusan Ekonometriks itu.

Lihat Komen
ADS