Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS terbuka untuk menerima dan menyokong mana-mana calon dipersetujui BN bagi menghadapi PH di Tanjung Piai, termasuk dari parti MCA.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, berkata jika calon sudah ditetapkan maka parti itu akan menerimanya dan memberikan sokongan "setakat yang boleh".

Pada masa sama timbalan menteri besar Kelantan itu menyatakan PAS tidak mempunyai ramai penyokong di kawasan parlimen Tanjung Piai.

"Kalau calon BN (MCA) yang dipilih dan dipersetujui, kita akan terima dan sokong setakat yang boleh.

"Kita pun tak ramai (penyokong) di situ," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat exco negeri di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

Menurut Mohd Amar, pada pilihan raya umum (PRU) tahun lalu calon PAS hanya mendapat kira-kira 2,900 undi saja. Kedudukan itu meletakkan PAS jauh tercicir di belakang calon PH dan BN.

Semasa PRU ke-14 diadakan pada 9 Mei tahun lalu, kerusi Tanjung Piai ditandingi tiga calon, masing-masing Dr Mohd Farid Md Rafik yang mewakili PH, Wee Jeck Seng (BN) yang juga penyandang, serta Nordin Othman (PAS).

Tak ada maklumat lengkap

Mohd Farid mendapat 21,255 undi berbanding Wee 20,731. Nordin pula cuma mengumpul 2,962 undi.

Mohd Farid - yang kemudian dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri - meninggal dunia secara mengejut pada 21 Sept lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya belum lagi bermesyuarat bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pemilihan di kerusi itu.

Mohd Amar berkata, walaupun ahli PAS terhad di Tanjung Piai, ia masih berpotensi untuk memenangkan calon BN.

 

Terdahulu beliau ditanya mengenai pendirian PAS sekiranya MCA meletakkan calon bagi mewakili pembangkang dalam pilihan raya kecil tersebut.

Sementara itu mengulas lanjut Mohd Amar berkata, berdasarkan keputusan PRU ke-14 memperlihatkan BN mempunyai potensi untuk merampas kerusi tersebut dengan bantuan undi PAS.

"Saya pun tak ada maklumat yang lengkap mengenai Tanjung Piai, cuma kalau dilihat atas kertas ada potensi untuk menang sekiranya undi PAS dan BN dicampur mengikut keputusan pada PRU ke-14," katanya.

Mohd Amar menambah, kerjasama dalam kalangan pembangkang akan diteruskan berdasarkan amalan sebelum ini.

"Cuma kerusi itu kerusi BN. Jadi keutamaannya pada (calon) BN," katanya.

Lihat Komen
ADS