Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP jangan terlalu agresif campur isu kewarganegaraan, kata PAS
Diterbitkan:  Sep 25, 2019 7:00 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan DAP sebagai "semakin agresif" dalam memberi tekanan untuk melonggarkan syarat kewarganegaraan.

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai merujuk langkah kerajaan mengkaji untuk meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

"PAS mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mencampuri secara keterlaluan urusan permohonan kewarganegaraan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"PAS melihat DAP secara agresif memberi tekanan untuk melonggarkan syarat kewarganegaraan termasuk cadangan meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu hadir selepas media melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang berkata kerajaan sedang mengkaji untuk meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapatkan status kewarganegaraan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara secara automatik.

Bagaimanapun, jelas Tuan Ibrahim, pindaan itu akan membuka ruang kepada dwi kerakyatan atau pertindihan taraf kewarganegaraan anak.

Selain itu, ahli parlimen Kubang Kerian itu turut menyatakan kebimbangan tentang pemegand kad pengenalan yang menurutnya tidak tahu berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu.

"Pada masa ini, KDN sewajarnya diberikan ruang untuk mengemaskini kelemahan yang terdapat dalam proses kewarganegaraan sehingga menyebabkan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian kad pengenalan.

"Rakyat juga sangat bimbang dengan situasi lambakan pemegang-pemegang kad pengenalan yang tidak tahu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu walhal pengetahuan asas dan sesi temu duga ujian Bahasa Melayu adalah pra syarat untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.

"PAS mahu KDN terus membongkar dan menangkap semua dalang yang terlibat dalam isu penjualan MyKad. Isu ini sangat bahaya dan perbuatan khianat berbanding pelbagai isu remeh temeh yang sengaja ditularkan untuk menutup kontroversi ini," katanya.

Dalam perkembangan isu sama, Ketua Pemuda DAP Howard Lee menyifatkan dakwaan yang menuduh DAP mahu membawa kaum Cina dari negara China sebagai fitnah.

"Jika fitnah ini benar, tak perlulah DAP meminta Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin untuk membangkitkan isu nirkewarganegaraan (statelessness) dan kad pengenalan merah, sebaliknya hanya terus berdiam dan teruskan jual MyKad sahaja.

"Justeru, Pemuda DAP memandang serius terhadap isu pecah amanah ini dan permainan politik fitnah dalam isu ini," katanya dalam kenyataan media yang dikongsi di Facebook.

Howard dalam kenyataannya turut menggesa kerajaan menyelesaika segera lambakan permohonan kewarganegaraan oleh warga yang layak dalam mendapatkan dokumentasi mereka.

"Tidak lain dan tidak bukan kerana mereka benar-benar layak," katanya.

Lihat Komen
ADS