Usaha menggabungkanInstitusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bersaiz kecil dengan IPTS yang lebih besar, tidak berjaya kerana perbezaan falsafah dan keutamaan masing-masing.

Bagaimanapun, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed, IPTS tersebut bekerjasama erat dalam menawarkan program serta kemudahan pembelajaran dan pengajaran.

"Kita dah mulakan tapi tidak berapa berjaya dan amat tidak menggalakkan walaupun ada usaha serta insentif daripada kerajaan...kerjasama itu ada tetapi untuk bergabung itu belum berjaya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Teknologi, Pendidikan dan Kerjaya anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Bandar Seri Iskandar semalam.

Namun begitu, pada masa depan, Mustapa yakin 559 IPTS berkenaan mampu bekerjasama secara lebih serius lagi dan seterusnya bergabung kerana jumlah IPTS akan bertambah.

Menurut laporan Bernama, sebelum ini kerajaan menggalakkan IPTS bersaiz kecil bergabung dengan IPTS yang besar bagi meningkatkan infrastruktur dan menawarkan kemudahan pembelajaran moden.

Menerusi penggabungan tersebut, penawaran kemudahan moden serta tenaga pengajar berkelayakan dapat mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau.

Selain itu, Mustafa berkata kerajaan tidak menyediakan sebarang peruntukan kepada IPTS dalam Rancangan Malaysia Kesembilan kerana ia dimiliki oleh pihak swasta tetapi kerajaan menyediakan persekitaran yang baik untuk ia berkembang.

Pasaran kerjaya

"Pertamanya, dari segi bilangan pelajar, skim pinjaman pelajaran dan beberapa insentif daripada kerajaan walaupun tidak banyak. Kita harap mereka mampu melengkapkan usaha kerajaan untuk menyediakan peluang pelajaran," katanya.

Katanya, pendidikan IPTS bukan bidang untuk mengaut keuntungan besar tetapi ia merupakan satu perkhidmatan kepada masyarakat dan pulangan hanya akan diperolehi melalui modul yang diiktiraf dan mempunyai pelajar yang ramai.

Beliau turut menggesa supaya universiti mengadakan hubungan kerjasama yang kukuh dengan pihak industri bagi memastikan kurikulum pengajian relevan dengan keadaan pasaran kerjaya semasa.

Mustapa berkata ia juga dapat menyediakan graduan yang memahami dunia pekerjaan di peringkat awal iaitu sebelum memasuki pasaran sumber manusia.

Beliau berkata, modul lima tahun pengajian termasuk setahun pengajian asas serta lapan bulan latihan praktikal yang dijalankan oleh UTP pada masa ini boleh diterima pakai oleh semua institusi pengajian tinggi (IPT) negara.

"Kebanyakan majikan mahukan graduan terus bekerja pada hari pertama diterima kerana mereka tidak mahu membelanjakan kos terlalu banyak untuk latihan, walaupun sepatutnya tidak begitu. Itulah realitinya," katanya.

Menurutnya lagi, walaupun kebanyakan IPT mempunyai latihan praktikal untuk pelajarnya tetapi ia tidak begitu mantap kerana hubungan dengan pihak industri yang tidak rapat, perhatian yang kurang daripada universiti, masa serta kualiti penglibatan yang kurang berkesan.