Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan Perlis menghentikan projek penambakan di Kuala Sanglang Harbour di negeri itu yang dikatakan hampir 5,000 nelayan.
Ketua Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM M Sharan Raj berkata projek penambakan itu yang melibatkan 4km kawasan pesisiran pantai akan menghapuskan kawasan tangkapan ikan dan menjejaskan sehingga 80 peratus hasil tangkapan.
"Nampaknya, kerajaan negeri Perlis pimpinan BN sedang ikut jejak kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan yang mementingkan projek tambakan dan mengabaikan nelayan," katanya.
"Kehilangan mata pencarian nelayan juga akan memudaratkan ekonomi luar bandar.
"Industri perikanan Perlis juga sangat penting kepada rakyat Malaysia. Pesisiran pantai Perlis merupakan antara kawasan penangkapan makanan laut termasuk ketam, udang, siput laut dan kerang.
"Kemusnahan kawasan tangkapan nelayan akan meningkatkan import makanan laut ke Malaysia," tambahnya.
Jelas Sharan, Laporan Kajian Pasaran Sektor Makanan oleh MyCC telah mendedahkan bahawa kebergantungan negara kepada import merupakan antara faktor kenaikan harga makanan.
Katanya, peningkatan import makanan khususnya makanan laut akan meningkatkan aliran mata wang Ringgit dan menjejaskan ekonomi dan seterusnya risiko kenaikan harga makanan terhadap rakyat Malaysia sangat tinggi.
"Perlis dengan populasi yang rendah juga tidak menghadapi masalah kekurangan tanah untuk pembangunan. Berdasarkan pengalaman negeri Melaka, harga tanah tambakan selalunya di luar kemampuan golongan nelayan dan penduduk luar bandar.
"Sebarang hartanah di tanah tambakan hanya boleh dimiliki syarikat besar serta golongan maha kaya. Secara rasionalnya, tiada fakta yang kukuh untuk Perlis meluaskan tanahnya melalui tambakan," katanya yang menyorot bahawa restoran makanan laut di pesisiran Kuala Sanglang menjadi tarikan pengunjung.
Tambah Sharan, kejatuhan industri makanan laut Kuala Sanglang akan mewujudkan pengangguran dalam kalangan anak muda di Kuala Sanglang.
"Projek Kuala Sanglang Harbour, Perlis akan menghapuskan kawasan pembiakan marin yang akan mengurangkan hasil laut negara serta memiskinkan nelayan. Kerajaan negeri Perlis seharusnya memberi fokus kepada pembangunan pro-rakyat dan memperkukuhkan industri perikanan.
"Parti Sosialis Malaysia menyeru kerajaan negeri Perlis pimpinan Barisan Nasional untuk menghentikan pemusnahan kawasan tangkapan nelayan Kuala Sanglang demi kepentingan rakyat Malaysia," katanya.
