Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman menyifatkan pihak yang membuat spekulasi berhubung kes kematian seorang lelaki yang ditembak mati di negeri itu sebagai cuba menangguk di air keruh untuk mewujudkan suasana tegang dalam masyarakat.

Mengucapkan takziah terhadap pihak yang terlibat dalam insiden itu, Zakiyuddin berkata kejadian itu masih dalam siasatan polis.

"Perkara ini dilakukan adalah untuk menangguk di air yang keruh demi kepentingan sempit sesetengah pihak.

"Saya percaya rakyat Pulau Pinang tidak akan terpengaruh dengan dakwaan sempit ini. Ini kerana tiada ada mana-mana pihak yang akan mendapatkan kebaikan daripada perpecahan dan juga pergaduhan melainkan semua pihak akan rugi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 September lalu, seorang penyelia kilang maut manakala seorang pengurus keselamatan cedera selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang di sebuah kilang di Bayan Baru.

Dalam kejadian itu, pekerja berusia 25 tahun itu dikatakan menyerang mangsa sebelum ditembak polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan.

Susulan itu, timbul dakwaan yang tular di media sosial bahawa tindakan lelaki itu kerana lelaki yang ditetak itu menghina Nabi Muhammad SAW.

Polis Pulau Pinang berkata, penyerang dipercayai mengalami kemurungan sejak beberapa bulan lalu dan tidak hadir bekerja selama seminggu, serta telah menghantar surat peletakan jawatan yang berkuatkuasa akhir bulan ini.

Hari ini Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata polis sedang memburu tiga individu bagi membantu siasatan terhadap kenyataan yang disebarkan di media sosial yang disifatkan sebagai menghasut.

Dalam pada itu, Zakiyuddin menasihatkan orang ramai agar menyerahkan perkara itu kepada siasatan polis, selain berharap polis akan menyiasat pihak yang "sengaja menimbulkan spekulasi bagi menimbulkan keresahan masyarakat".

"Saya menyeru rakyat Pulau Pinang meneruskan kehidupan dengan rukun dan harmoni seperti sebelum ini. Pada masa sama kerajaan negeri akan meneruskan agenda pembangunan berteraskan perpaduan dan semangat kekeluargaan seperti terkandung dalam Visi Penang 2030.

"Antaranya memperkenalkan program 'adab berbeza pendapat' yang akan mendidik masyarakat kaedah dan cara menangani pelbagai perbezaan." katanya lagi.