Terdapat perbezaan ketara antara kehidupan sebenar dan versi di media sosial Malaysia, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Walau bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa kini terdapat kempen yang dibiayai dengan dana yang besar untuk memastikan kedua-dua versi menyerupai satu sama lain.

Persepsi di media sosial, katanya, adalah bahawa negara sedang berdepan dengan masalah perkauman yang serius dan sengketa agama yang sedang marak.

"Tetapi ini benar-benar berbeza daripada kehidupan sebenar kita di Malaysia. Kita bukannya bermusuhan sesama kaum dan agama, serta saling tidak percayai tetapi sebaliknya kita hidup dalam muhibah, saling memahami, bertoleransi dan hidup dalam keharmonian di kalangan rakyat yang berbilang kaum, sama ada Melayu, Cina atau India, Kadazan atau Dayak.

"Namun ada yang tidak kena. Kempen media sosial yang sangat dibiayai dengan dana besar sedang digerakkan untuk memastikan bahawa kehidupan sebenar di Malaysia ... merosot dan menyerupai keadaan di media sosial...," katanya dalam satu kenyataan media petang ini.

Sebagai contoh kempen itu, katanya, adalah tularnya di media sosial baru-baru ini dengan berita palsu tentang pencemaran terhadap Jalur Gemilang oleh kononnya rakyat Malaysia yang berbangsa Cina.

Beliau berkata ini dilakukan dengan tujuan untuk menimbulkan rasa tidak puas hati, saling tidak mempercayai, ketakutan serta kebencian di kalangan orang Melayu terhadap bangsa Cina.

"Gambar seorang lelaki menyerupai Cina yang membakar bendera Malaysia yang tular di media sosial sebenarnya adalah kejadian pada 2013 di Manila di mana seorang bekas pegawai polis Filipina membakar bendera Malaysia sebagai bantahan terhadap cara presiden Filipina ketika itu, Benigno Aquino menanagni isu Sabah.

"Malah, ketika itu setiausaha agung Umno, Annuar Musa tidak terkecuali daripada mengeksploitasi situasi berkenaan...

"Saya berani katakan bahawa tidak ada satu pun rakyat Malaysia berbangsa Cina yang akan dengan sengaja mahu mencemarkan bendera negara dengan mengibarnya secara terbalik atau sebarang perbuatan yang keji," katanya.

Mengulangi keperluan untuk menyahaktifkan apa yang digambarkannya sebagai "bom jangka terhadap pembangunan negara", Lim memetik bagaimana Naib Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi menyemai semangat kebencian itu pada satu ceramah di Kelantan malam tadi.

 

Dia mengulangi tuduhan di media sosial bahawa lelaki yang mengamuk di Pulau Pinang kerana marah terhadap dua individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan kemudiannya ditembak mati oleh polis sebagai “mati syahid”.