'Polis Indonesia tak belajar dari pengalaman lalu'
NGO hak asasi manusia Amnesty International menyelar pihak polis Indonesia dan mendakwa mereka menyalahgunakan kuasa dalam usaha meleraikan demonstrasi pelajar di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, semalam.
Kata badan itu, pihak polis gagal mengambil iktibar daripada insiden pada 21 dan 22 Mei lalu yang menyaksikan demonstrasi tercetus ekoran keputusan pilihan raya Indonesia.
“Polis gagal belajar daripada pengalaman lalu, dalam demonstrasi 21 dan 22 Mei lalu di mana ramai anggota mereka bertindak ganas. Ia seolah-olah berulang dalam demonstrasi semalam,” kata jurucakap Amnesty International Indonesia Haeril Halim hari ini, seperti dipetik Tempo.
Kenyataan itu susulan tersebarnya klip-klip video amatur di internet yang menunjukkan rakaman keganasan yang dilakukan oleh pihak polis.
Kata Haeril, Amnesty International Indonesia menggesa Polis Republik Indonesia (Polri) untuk menyiasat dan memastikan anggotanya yang melakukan tindakan keganasan itu supaya bertanggungjawab.

Dia turut menyatakan kekesalannya apabila polis yang didapati bersalah dalam insiden 21 ke 22 Mei lalu tidak dikenakan sebarang pendakwaan jenayah.
Demonstrasi itu tercetus sejak 24 September apabila ribuan mahasiswa berhimpun di beberapa bandar Indonesia bagi membantah undang-undang baru.
Antara lain, undang-undang baru itu memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan zina, menghina presiden, menggugurkan kandungan tanpa sebab perubatan, perkahwinan sejenis, selain mengkaji semula undang-undang rasuah.
Presiden Indonesia, Joko Widodo Jumaat lalu menangguhkan undian Parlimen terhadap undang-undang jenayah baru itu dan berkata ia perlu dibincangkan Parlimen bulan depan.

