Lelaki dipukul di hospital lepas langgar sukarelawan polis
Klip video tular yang memaparkan sekumpulan individu yang dipercayai anggota polis memukul seorang individu yang terlantar di atas katil hospital dipercayai berlaku di Chonburi, Thailand.
Video yang tersebar di WhatsApp itu dikatakan berlaku pada bulan Ogos.
Menurut laporan portal berita Thailand, Khao Sod, rakaman video itu melibatkan dua sukrelawan polis yang memukul mangsa kemalangan motosikal di sebuah hospital di Chonburi.
Mereka didakwa membalas dendam selepas mangsa enggan berhenti di tempat pemeriksaan sebelum itu sehingga melanggar salah seorang sukarelawan polis yang membuat pemeriksaan berkenaan.
Pentadbir polis tempatan, Pakasit Sueksongkram berkata, lelaki itu adalah salah seorang pelumba jalanan yang dibawa ke hospital sebelum ditemukan oleh kawan-kawan sukarelawan polis yang dilanggarnya.
Kejadian itu dikatakan berlaku pada 18 Ogos di Hospital Universiti Burapha di Chonburi.
Dalam video yang dirakam kamera litar tertutup, sekumpulan sukarelawan polis dan polis dilihat berdiri di sekeliling seorang lelaki yang sedang terlantar di atas katil.
Dua daripada individu dalam klip video itu kemudiannya menutup tirai sebelum menumbuk lelaki di atas katil itu berulang kali.
"Saya menegur mereka dan memberitahu mereka bahawa mereka perlu berfikir sebelum melakukan apa-apa, kerana mereka adalah pegawai keselamatan," kata Pakasit kepada media.
Sukarelawan polis adalah orang awam yang membantu pasukan polis dalam tugas seperti menjaga pusat pemeriksaan, pemeriksaan rutin, dan membantu melancarkan trafik.

