Kementerian Belia dan Sukan telah menangguhkan bantuan kewangan kepada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sehingga selesai kemelut krisis kepimpinannya.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Liow Tiong Lai berkata kementerian sentiasa mengikuti dengan teliti perkembangan krisis GPMS yang kini masih dalam tindakan Pendaftar Pertubuhan.

"Kementerian Belia dan Sukan memang prihatin mengenai keadaan ini...pada masa ini kita mengambil tindakan menangguhkan bantuan kewangan kepada GPMS sehingga kemelut itu dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya ketika sesi soal-jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) yang ingin tahu sama ada kemelut dalam persatuan belia, seperti yang berlaku pada GPMS, adalah tanda belia masa kini perlu direfomasikan.

Menurut Liow, kementeriannya difahamkan bahawa kedua-dua pihak terlibat dalam kemelut itu telah mengemukakan laporan masing-masing kepada Pendaftar Pertubuhan.

"Pendaftar Pertubuhan sedang dalam tindakan menyemak laporan yang dikemukakan dan menjalankan siasatan tertentu ke atas kedua-dua pihak terlibat," katanya.

Halatuju belia

Menurut laporan Bernama, krisis kepimpinan GPMS tercetus apabila dua presiden dilantik menerajui pertubuhan tersebut Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Suhaimi Ibrahim dalam pemilihan berasingan pada 25 Disember lalu.

Pendaftar Pertubuhan pula telah menjelaskan, GPMS boleh dibubarkan jika kedua-dua pihak yang terbabit dalam kemelut tersebut, tidak menyelesaikan pertelingkahan mereka sehingga ia menjejaskan kepentingan GPMS.

Mengenai halatuju dan peranan belia dalam arus perdana pada masa kini, Liow berkata kerajaan kini dalam proses menggubal Akta Belia Negara untuk dijadikan panduan halatuju belia di negara ini.

Katanya, kementerian juga bercadang mendaftar semua pertubuhan belia di bawah Akta Belia untuk kementerian mengawasi, memantau, memberi arahan atau mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memangkin dan memperkasakan lagi peranan belia dalam arus pembangunan nasional.

"Perbincangan antara kementerian dan Pendaftar Pertubuhan mengenai perkara itu kini di peringkat akhir dan kita harap akan dapat membentangkan akta itu ke Parlimen pada sesi Jun ini," katanya.

Pada masa ini semua pertubuhan termasuk pertubuhan belia dikawal oleh Pendaftar Pertubuhan.

Liow berkata, melalui akta itu, had umur yang dibenarkan bagi menjadi pemimpin belia ialah 40 tahun ke bawah bagi membolehkan aspirasi generasi golongan itu disuarakan dan memenuhi citarasa belia.