Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes amuk: Polis tahan 3 lelaki muat naik kenyataan berbaur perkauman

Polis menahan tiga lelaki yang memuat naik kenyataan berbaur perkauman di media sosial berhubung kematian seorang individu dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 23 September lalu.

Timbalan Pengarah Forensik/Databank/ DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, DCP Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, ketiga-tiga lelaki itu, masing-masing ditahan di Pulau Pinang dan Kedah.

Beliau berkata, mereka ditahan pada 26 September selepas laporan polis dibuat pada sehari sebelum itu dan semua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi permohonan tahanan reman.

"Tangkapan pertama di Butterworth, seorang lelaki berumur 32 tahun, tidak mempunyai rekod jenayah dan tidak bekerja.

"Tangkapan kedua oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, (juga) seorang lelak, berusia 42 tahun, tiada rekod jenayah dan bekerja sebagai pemandu backhoe (jentolak).

"Seorang lagi lelaki juga di Kedah, ditahan tengah malam, berusia 28 tahun dan bekerja sebagai sub kontraktor," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketiga-tiga mereka di siasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Serta Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Dalam insiden amukan pada 23 September lalu seorang penyelia bahagian kawalan kualiti maut manakala seorang pengurus keselamatan parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan menyerang kedua-dua mangsa sebelum dia ditembak mati sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, suspek yang juga pekerja di kilang berkenaan dikatakan seminggu tidak hadir bekerja dan pihaknya dimaklumkan lelaki itu telah menghantar surat peletakan jawatan yang berkuatkuasa penghujung September ini.

Amukan itu juga mengakibatkan penyelia bahagian kualiti yang diserang mangsa turut maut ketika mendapat rawatan di hospital.

Lihat Komen
ADS