Balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya menerima keputusan siasatan pihak berkuasa yang mengklasifikan kematian suaminya baru-baru ini sebagai satu kemalangan dalam latihan.

Justeru, bagi Nour Shafinar Harun, 31, dia berpendirian tidak perlu diadakan siasatan semula kes kematian tersebut namun mengakui tidak ada kuasa melarang jika ada pihak lain berpendapat sebaliknya.

“Sekali lagi saya tegaskan di sini saya tidak akan bertindak (meminta) untuk membuka kertas siasatan berhubung kes ini,” katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Mohd Zahir maut ketika terbabit dalam pertunjukan gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah, awal bulan ini.

Arwah adalah pegawai Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas merupakan penembak tepat, meninggalkan seorang balu bersama lima orang anak berumur antara enam bulan dan 10 tahun.

Semalam, Tentera Darat Malaysia mengesahkan insiden kematian Mohd Zahir sebagai kemalangan dalam latihan

Bapa Mohd Zahir, AR Badul, kemudian dilaporkan berkata dia tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan mahu kerajaan mengadakan inkues bagi mencari kebenaran punca di sebalik kematian anaknya.

Angkatan Tentera Malaysia pula menghormati keputusan Badul yang mahu inkues tersebut diadakan.