Ujian teknikal yang dijalankan terhadap sistem rangkaian TM Net merupakan punca yang mengakibat berlakunya kelambatan dalam melayari dan muat-turun sejak Isnin lalu.

Mengikut pengumuman dalam lamanwebnya hari ini, syarikat telekomunikasi tersebut berkata ujian itu adalah "sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menaiktaraf produk dan perkhidmatannya."

"Adalah dikesali, ujian tersebut mungkin mengakibatkan sesetengah pelanggan kami mengalami masalah kelambatan untuk muat-turun dan/atau melayari Internet," katanya lagi.

Tambahnya, syarikat tersebut juga telah mengambil "langkah-langkah perlu untuk mempercepatkan proses ujian tersebut."

Ketika dihubungi, seorang pegawai perkhidmatan pelanggan di pusat perkhidmatannya berkata, buat masa ini TM Net tidak dapat menyatakan bilakah sistem tersebut akan pulih semula.

"Kami masih menunggu jawapan daripada pihak teknikal kami bila ianya akan pulih semula," katanya.

Sementara itu, seorang pembaca Malaysiakini, Seah Li Ling mengadu beliau menghadapi kesukaran apabila menggunakan internet sejak Sabtu lalu.

"Mereka sepatutnya memaklumkan kepada pelanggan maklumat terkini tentang apa yang berlaku. Pihak pengguna tidak tahu apa-apa sepanjang masa. Apabila saya menghubungi pusat perkhidmatannya, saya terpaksa menunggu seketika sebelum panggilan saya dilayan," katanya.


Malaysiakini turut menghadapi kesukaran untuk menyiarkan berita pada hari Isnin dan semalam ekoran daripada ujian yang dijalankan oleh TM Net itu, dan memohon maaf kepada para pembaca kerana berlakunya gangguan dalam penyiaran berita kami".


Perkhidmatan tersebut pulih semula kira-kira jam 11 pagi ini.