Tangguh lagi projek RTS memalukan, kata Khaled
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menyifatkan langkah kerajaan menangguhkan sekali lagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor dan Singapura sebagai memalukan.
Menurut Khaled, kerajaan sepatutnya memberi jawapan kepada Singapura Isnin lalu, namun Menteri Pengangkutan Anthony Loke memohon penangguhan selama sebulan lagi sebelum memberikan jawapan kepada republik itu.
"Perkara ini bukan sahaja memalukan kita kerana sudah beberapa kali melanggar tarikh dan tempoh masa yang diberikan.
"Kerajaan Pakatan Harapan sendiri tahu bahawa prasarana ini sangat diperlukan. Ia bertujuan memudahkan pergerakan keluar masuk rakyat kedua-dua negara ini sekali gus menjadi alternatif kepada Tambak Johor yang sudah sangat sesak," katanya dalam kenyataan.
Tambah Khaled pembinaan projek prasarana untuk rakyat tidak seharusnya dijadikan gimik politik oleh kerajaan PH.
"Saya berharap, projek-projek prasarana pro-rakyat di Johor akan diteruskan dengan lancar tanpa terus berdalih dan memberikan pelbagai alasan.
"Kita tunggu dan lihat sahajalah apa pula alasan YB Anthony Loke hujung Oktober ini," katanya dalam kenyataan media.
Mac lalu, kerajaan meminta tempoh lanjutan selama enam bulan daripada Singapura sebelum membuat sebarang keputusan berhubung projek RTS.
Anthony Loke berkata tempoh lanjutan sehingga September itu bagi membolehkan kerajaan meneliti beberapa perkara termasuk kos pelaksanaan projek.
Penangguhan itu menyebabkan kerajaan perlu membayar pampasan kepada Singapura.

