Notis muflis: Kedudukan seorang Exco Sgor tidak terjejas, kata Khir Toyo
Kedudukan Datuk Abdul Rahman Palil sebagai anggota Exco Selangor tidak tergugat walaupun beliau menerima notis kebangkrapan daripada seorang bekas pengarah syarikat perkhidmatan pencucian dan pembersihan berhubung pembayaran wang sebanyak RM311,295.35.
Kedudukan Datuk Abdul Rahman Palil sebagai anggota Exco Selangor tidak tergugat walaupun beliau menerima notis kebangkrapan daripada seorang bekas pengarah syarikat perkhidmatan pencucian dan pembersihan berhubung pembayaran wang sebanyak RM311,295.35.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata kedudukan Abdul Rahman sebagai Exco bukan isu kerana beliau hanya menerima notis kebangkrapan yang dihantar oleh pihak yang tidak berpuashati ketika menjalankan perniagaan bersama Abdul Rahman.
"Tidak ada isu sebenarnya sebab baru notis dihantar, bukan jatuh bangkrap lagi," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Shah Alam hari ini.
Abdul Rahman, yang telah menemui Dr Mohamad Khir bagi menjelaskan perkara itu hari ini, kini menyerahkan perkara tersebut kepada peguam beliau untuk mengendalikan kes berkenaan termasuk mengetepikan notis kebangkrapan itu.
Selain itu, katanya, kejadian itu berlaku sebelum Abdul Rahman dilantik sebagai exco.
Notis terhadap Abdul Rahman yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat difailkan pada 8 Mac lalu, dikemukakan oleh Zarinah Abu Bakar sebagai pemiutang penghakiman dan disampaikan kepada Abdul Rahman pada 27 Mac lalu, yang mengkehendaki beliau membayar RM311,295.35 kepada Zarinah dalam masa tujuh hari selepas notis itu diterimanya.
Menurut laporan Bernama, sehingga semalam Abdul Rahman yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman dalam notis itu, gagal membayar wang berkenaan seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi.
Dr Mohamad Khir berkata ramai pihak yang tidak faham prosedur kebangkrapan dengan beranggapan seseorang itu telah bangkrap apabila diserahkan dengan notis kebangkarapan.
Katanya sebarang tindakan terhadap pegawainya akan diambil setelah beliau disahkan bangkrap oleh Jabatan Insolvensi.
Ditanya sama ada beliau berpuashati dengan penjelasan Abdul Rahman berhubung perkara itu, Dr Mohamad Khir berkata : "Saya rasa tidak ada masalah".
Dr Mohamad Khir berkata beliau menasihatkan Abdul Rahman agar terus bekerja.
Katanya Abdul Rahman dan semua anggota exco yang lain telah mengisytiharkan harta sebelum dilantik sebagai exco.
Abdul Rahman ketika ditemui berkata terdapat beberapa aspek teknikal yang perlu dipatuhi dalam kes itu.
Beliau percaya kes ini berlaku kerana salah faham dan salah letak sehingga menyebabkan ia berlarutan menyebabkan peguamnya telah menfailkan proses untuk mengetepikan notis itu sebelum ini.
Ditanya sama ada beliau berusaha menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, Abdul Rahman berkata ia bergantung kepada tindakan peguamnya dengan mematuhi undang-undang.
Beliau turut menjelaskan bahawa kes itu berlaku sebelum beliau menjadi anggota exco dan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) beliau dibenarkan berniaga dan mendapat kemudahan yang sewajarnya.
"Ini urusan perniagaan. Saya rasa tiada masalah," kata Abdul Rahman yang merupakan ADUN Sementa.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.