Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘1MDB tak boleh buat pinjaman baru selepas Mei 2009 tanpa kelulusan Najib’
Diterbitkan:  Sep 30, 2019 11:34 AM
Dikemaskini: 8:02 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa syarikat 1MDB tidak boleh membuat pinjaman baharu tanpa kelulusan Najib Razak selepas Mei 2009.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian pada perbicaraan hari ke-15 kes Najib melibatkan dana 1MDB.

Shahrol Azral berkata selepas Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang kemudiannya ditukarkan kepada 1MDB menerima jaminan kerajaan persekutuan pada Mei 2009, 1MDB tertakluk kepada Akta Jaminan Pinjaman yang 1MDB tidak boleh membuat apa-apa pinjaman baharu kecuali dengan kelulusan Menteri Kewangan Malaysia.

"Dalam penerbitan Bon 2012 (US$1.75 bilion), saya mengesahkan bahawa 1MDB ada mendapat kelulusan bertulis daripada Menteri Kewangan. Jasmine Loo (peguam 1MDB) yang terlibat dalam proses mendapatkan tandatangan Najib pada masa tersebut.

"Saya tidak terlibat dalam urusan dengan bahagian pinjaman kementerian kewangan untuk mendapatkan kelulusan itu.

“Saya tidak pasti sama ada terbitan bon ini ada melalui proses yang sepatutnya di kementerian kewangan atau tidak sehingga kelulusan diberikan oleh Najib atas kapasitinya sebagai menteri kewangan," jelas saksi pendakwaan kesembilan itu.

Saksi penting pendakwaan itu berkata Najib telah meluluskan cadangan pinjaman berjumlah RM6.17 bilion berhubung pengambilalihan syarikat Tanjong Energy Holding Sdn Bhd (TEHSB) oleh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Sdn Bhd.

Shahrol Azral mengesahkan perkara tersebut ketika dirujuk mengenai surat daripada bekas perdana menteri itu kepadanya bertarikh 26 Mac 2012 berhubung kelulusan pinjaman berkenaan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram.

"Ini adalah surat kelulusan daripada Najib atas kapasitinya sebagai menteri kewangan kepada saya bagi meluluskan cadangan RM6.17 bilion bridging loan dan AS$1.75 bilion 10 year notes berkenaan dengan pengambilalihan TEHSB.

"Kelulusan ini adalah berdasarkan kepada Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965. Ini adalah kerana segala hutang seterusnya dalam apa bentuk sekalipun mesti mendapat kelulusan menteri kewangan terlebih dahulu.

"Kelulusan pinjaman mesti diperoleh selepas ia mendapat kelulusan dalaman daripada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB dan kelulusan pemilik saham 1MDB iaitu menteri kewangan Diperbadankan (MOF Inc) (Najib)," katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-15 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Menurut Shahrol Azral, beliau juga telah menandatangani dokumen perjanjian fasiliti pinjaman diperoleh 1MDB Energy Sdn Bhd daripada Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad bernilai RM6.17 bilion bertarikh 17 Mei 2012.

"Perjanjian ini dibuat antara 1MDB Energy Sdn Bhd dengan Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad sebagai Joint Mandated Lead Arrangers dan The Financial Institutions Set Out In The First Schedule sebagai pemberi pinjaman dan dengan Maybank Investment Bank Berhad sebagai ejen pemberi kemudahan pinjaman tersebut.

"Tujuan pinjaman bernilai RM6.17 bilion ini adalah untuk urusan pengambilalihan 100 peratus ekuiti TEHSB oleh 1MDB melalui anak syarikatnya,1MDB Energy Sdn Bhd," kata saksi penting pendakwaan itu.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS