Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) Eddin Khoo, yang akan mengemukakan penemuan ringkas mengenai kelayakan pendidikan yang digunapakai sekolah-sekolah bebas Cina kepada kerajaan, berkata beliau positif mengenai laporan itu.

Pada masa yang sama, Khoo (gambar) meluahkan kekecewaan terhadap kecenderungan rakyat Malaysia menjadikan isu itu sebagai isu perkauman.

"Saya sangat positif dan sangat tertekan pada masa yang sama (mengenai hasil kajian).

"Saya sangat positif dalam erti kata saya fikir banyak isu telah diselesaikan. Terdapat konteks sebenar yang disediakan untuk isu UEC, yang telah berlangsung lama dan terlalu dipolitikkan.

"Saya tertekan apabila masyarakat Malaysia masih mahu merosakkan segala-galanya. Tiada kesedaran nasional yang sebenar dalam menyelesaikan isu-isu kita.

"Saya juga berasa tertekan kerana isu ini mencerminkan budaya victimology dalam kalangan rakyat Malaysia  - setiap masyarakat di sini merasakan mereka menjadi mangsa. Tidak ada kemuafakatan dalam menangani isu-isu asas yang serius," kata Khoo.

Kajian pasukan petugas itu bertujuan memberi panduan kepada kerajaan mengenai dasar masa depannya berkenaan UEC.

Khoo yang merupakan seorang penulis dan budayawan adalah anak kepada pakar sejarah, mendiang Khoo Kay Kim, yang membantu merangka Rukun Negara.

Dua lagi anggota pasukan petugas itu adalah Presiden Angkatan Belia Islam (Abim) Mohamad Raimi Abdul Rahim dan Timbalan Pengerusi Dong Zong, Tan Yew Sin.

Khoo berkata beliau secara peribadi berharap kajian itu akan didedahkan secara terbuka.

"Sama ada mereka (kerajaan) mahu membukanya kepada orang awam, terpulang kepada mereka, tetapi saya secara peribadi meminta mereka membukanya kepada orang ramai.

"Saya menggesa kerajaan melakukannya kerana saya rasa orang ramai akan dapat melihat sejauh mana isu ini dalam laporan berkenaan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS