Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perak bakal jadi hub tanaman buluh pertama negara
Diterbitkan:  Oct 1, 2019 12:52 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Perak bakal menjadi hub penanaman buluh yang pertama di negara ini, hasil kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dalam usaha membangunkan industri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata hasil kerjasama yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun itu, berpotensi menjadikan Perak negeri contoh dalam memasarkan produk-produk hasilan buluh.

"Ini akan membuka potensi kepada pengusaha-pengusaha di Perak dalam bidang berasaskan kayu dan buluh, kerana peluangnya banyak. Kami akan menyediakan bimbingan dari segi latihan, pemasaran, penyelidikan dan membuat tempat semaian.

"Kita merasakan dengan ini (projek tanaman buluh) bukan sahaja mempromosikan buluh dan bahan-bahan buatan dari kayu semata-mata, tetapi mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak tempatan,” katanya pada sidang media berhubung perkara itu di Ipoh hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah MTIB Mohd Kheiruddin Mohd Rani berkata pihaknya telah mengenal pasti tanah kosong seluas 1.7 hektar di Taman Industri Perabot di Jalan Pusing, Lahat, dalam membangunkan tanaman buluh di negeri ini, namun ia tertakluk dengan kelulusan bajet 2020 yang akan dibentangkan nanti.

"Kita menyambut baik cadangan ini dengan menjadikan Perak sebagai hub tanaman buluh yang bakal menarik pelabur-pelabur asing.

"Di kawasan cadangan penanaman buluh itu nanti kita akan bangunkan tapak semaian, jadikan sebagai pusat tisu kultur dan pembinaan serta akan pindahkan anak buluh dalam polibeg, untuk diedarkan kepada mana-mana pengusaha,” katanya.

Bagi Pengarah Teknikal 'Bamboo Jungle Adventures' Ahmad Mazlan Othman berkata sebanyak empat jenis buluh yang berpotensi dikomersilkan iaitu buluh betong, minyak, beting, dan duri, yang merupakan antara 20 spesis buluh terbaik di dunia.

"Kami sebagai syarikat konsultan yang dilantik kerajaan negeri bagi projek ini, melihat buluh mempunyai potensi yang sangat besar, kerana industri tanaman itu di pasaran global telah mencecah sehingga RM300 bilion setiap tahun, ini satu industri yang amat besar.

"Di Malaysia ini, kita dianugerahkan tanah dan cuaca yang sangat baik untuk buluh, saya setuju dengan kerajaan Perak dan kerajaan persekutuan untuk menjadikan hub buluh ini,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS