Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat kaedah autopsi (bedah siasat) maya lebih sesuai dilakukan kepada mayat orang Islam.

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria berkata kaedah itu dilihat lebih sesuai kerana ia tidak melibatkan pembedahan fizikal kepada mayat mangsa dan dalam Islam adalah menjadi tuntutan agar tidak berlaku penyeksaan kepada mayat

Autopsi maya ialah kaedah bedah siasat yang dijalankan secara maya dengan menggunakan pengimbas tomografi berkomputer yang mampu mengelakkan pembedahan fizikal terhadap mayat bagi mengenal pasti punca kematian.

Teknologi autopsi maya yang diperkenalkan di Amerika Syarikat, Sweden, Switzerland dan Australia merupakan gabungan Multi Slice Computed Tomography (MSCT) dan teknik Imejan Resonans Magnetik (MRI).

Imej MSCT menyediakan maklumat mengenai patologi am badan dan boleh menghasilkan maklumat mengenai kecederaan trauma. Imej MRI pula digunakan untuk memfokus kawasan tertentu dalam badan terutama tisu-tisu lembut, otot dan organ. Imej yang dihasilkan adalah dalam bentuk tiga dimensi.

Menurut laporan Bernama, Harussani bagaimanapun berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan masih melakukan beberapa kajian dan penelitian mengenai kaedah autopsi maya itu sebelum ia dicadangkan untuk dijadikan fatwa.

Hab halal

"Kita masih akan melakukan beberapa tahap penelitian untuk melihat sejauh mana kaedah ini tidak mengaibkan mayat dan menyeksa mayat serta kesesuaian dan ketepatan untuk melaksanakannya," katanya dalam program Diskusi dan Ramah Mesra di Majlis Perjumpaan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bersama Media di Shah Alam malam tadi.

Sementara itu mengenai produk halal dan persediaan negara menjadi hub produk makanan halal, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Jakim Sumali Amat berkata Jakim telah melancarkan beberapa kaedah untuk pengguna bagi memastikan produk halal.

Beliau berkata pengguna boleh menggunakan kaedah e-halal yang telah dilancarkan dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) ke talian 32728 di mana pengguna perlu menaip HALAL kod bar barangan.

Pengguna akan mendapat maklumbalas tentang produk terbabit dalam masa kira-kira dua saat, katanya.

Katanya Jakim juga akan membangunkan sebuah Kompleks Halal di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) yang akan menempatkan tiga bahagian utama iaitu makmal halal penyelidikan dan kajian halal serta institut halal.