Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Foodpanda disaran kembalikan skim pembayaran lama - Syed Saddiq

Kabinet menyarankan syarikat penghantaran dalam talian Foodpanda untuk kembalikan semula skim pembayaran asal untuk menjamin kebajikan para penunggang mereka, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata kerajaan percaya kepada persaingan pasaran bebas, tetapi ia tidak boleh mengorbankan nasib pekerja.

"Setelah mendengar cerita kedua-dua belah pihak (pengurusan Foodpanda dan penunggang) saya bawakan isu ini ke kabinet hari ini. Kabinet menyarankan Foodpanda mengembalikan semula skim pembayaran asal untuk menjamin kebajikan riders (penunggang)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Saddiq berkata kerajaan akan mencari jalan untuk memastikan pasaran yang lebih kompetitif bagi pemain sektor itu terutamanya apabila ada pihak mendakwa mereka yang mengawal pasaran.

"Bagi rancangan jangka masa panjang, kabinet juga memutuskan untuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membentuk Jawatankuasa Khas untuk menilai isu ‘gig economy’ dengan lebih mendalam.

"Terdapat ramai anak muda yang menjadi riders sepenuh masa atau separuh masa. Mereka perlu mendapat perlindungan penuh untuk menambah pendapatan mereka. Kita perlu bertanggungjawab bagi memastikan masa hadapan mereka terjaga," katanya.

Terdahulu beliau telah bertemu dengan pihak pengurusan Foodpanda di pejabatnya sebelum mengadakan sesi pertemuan di kediamannya bagi mendengar keluh-kesah para penunggang Foodpanda, semalam.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata Foodpanda juga mendakwa mereka mempunyai kawalan pasaran yang besar dan kebanyakan penunggang mereka kecuali di Johor telahpun bersetuju dengan skim yang baharu.

"Ini adalah kurang tepat kerana riders daripada Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga membantah keputusan baru Foodpanda ini," katanya dan menambah ada ramai anak muda yang menjadi riders sepenuh masa atau separuh masa, dan mereka perlu mendpaat perlindungan penuh untuk menambah pendapatan mereka.

"Kita perlu bertanggungjawab bagi memastikan masa hadapan mereka terjaga," katanya.

Isnin lepas kira-kira 200 penunggang 'Foodpanda' mengadakan mogok membantah skim pembayaran baharu yang didakwa tidak adil di luar ibu pejabat syarikat itu di sini.

Semalam, Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataannya memberitahu, mereka akan memastikan wujudnya situasi menang-menang antara penunggang syarikat penghantaran dalam talian Foodpanda dan pihak pengurusannya berhubung bantahan skim pembayaran baharu yang didakwa tidak adil.

Menurut kementerian itu, pihaknya sentiasa memberi perhatian dan penekanan khusus terhadap kebajikan dan perlindungan terhadap golongan yang berada dalam ‘gig economy’.

- Bernama

Lihat Komen
ADS