Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kehadiran PM di KKM buktikan agenda Melayu sukar dalam PH’
Diterbitkan:  Oct 3, 2019 11:49 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Pemimpin kanan PAS melihat penyertaan Dr Mahathir Mohamad dalam Kongres Maruah Melayu (KMM) Ahad ini menunjukkan sukarnya mepertahankan kepentingan Melayu dan kedudukan Islam dalam Pakatan Harapan.

“Kesanggupan Tun Dr Mahathir untuk menyuarakan isu ini di luar platform PH sedangkan PH adalah kerajaan yang memerintah, menjadi petunjuk bahawa ruang untuk melaksanakan agenda tersebut dalam PH sudah tertutup,” kata anggota jawatankuasa pusat PAS Mohd Zuhdi Marsuki.

Penganjur dan sumber dalaman Pejabat Perdana Menteri sebelum ini mengesahkan kehadiran Mahathir dalam acara di Shah Alam itu bagi menyampaikan amanatnya.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini menyelar penganjuran acara itu atas dakwaan Bersatu menggunakan universiti untuk kepentingan politik.

Sekutunya PAS bagaimanapun telah menyatakan sokongan mereka pada acara itu.

Acara itu turut mendapat tentangan pemimpin PH.

Wakil rakyat DAP Charles Santiago semalam menyifatkan penyertaan Mahathir tidak sesuai memandangkan beliau perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Zuhdi mempertahankan pendirian PAS untuk turut serta atas alasan politik matang dan sejahtera demi perpaduan ummah dan negara.

“Meskipun kumpulan serpihan PAS, PAN (Amanah) mungkin turut hadir, PAS memaparkan jiwa yang besar dengan mendahulukan tuntutan dalam Islam,” kata Mohd Zuhdi.

Bersatu satu-satunya parti mewakili orang Melayu dan bumiputera dalam Pakatan Harapan (PH). Dua lagi rakan penting gabungannya - PKR dan Amanah - adalah parti pelbagai kaum.

Lihat Komen
ADS