Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli MT Umno gesa MCA kekal tanding di Tanjung Piai
Diterbitkan:  Oct 3, 2019 12:47 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Lokman Noor Adam mencadangkan MCA dikekalkan sebagai wakil BN dalam PRK Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November ini.

Beliau berkata, tiada fakta yang membuktikan calon perlu dipilih daripada Umno atau PAS jika BN ingin memang di kerusi yang memiliki lebih 50 peratus pengundi Melayu.

“Ada orang cakap, orang Melayu takkan undi calon Cina. Jika ini berlaku sudah pasti Wee Jeck Seng kalah teruk pada PRU lalu.

“Dalam tsunami politik yang dahsyat pada PRU-14, Jeck Seng hanya kalah dengan majoriti 524 undi. Saya yakin majoriti undi daripada pengundi Melayu yang tidak rasis,” katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Dengan mengekalkan MCA, katanya lagi, BN juga boleh melihat tahap kesediaan pengundi menerima calon bukan Melayu daripada pembangkang.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi pada PRU14 dengan 57 peratus ialah pengundi Melayu, Cina (42 peratus) dan India (1 peratus).

Sebelum ini timbul gesaan, antaranya daripada Umno Tanjung Piai sendiri, agar kerusi tradisi MCA itu ditandingi Umno untuk PRK kali ini.

Pada masa sama, portal itu juga melaporkan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menolak spekulasi beliau akan bertanding dalam PRK itu.

“Itu spekulasi orang, saya sendiri berpendapat patut orang tempatan (Tanjung Piai) tanding,” katanya semalam.

Khaled sebelum ini mencadangkan pembangkang menghantar calon yang "mewakili semua Umno, MCA, PAS, MIC dan sesiapa juga yang bernaung di bawah lembayung Muafakat Nasional" untuk PRK itu.

Beliau juga menyifatkan tanggapan pembangkang harus terus memberi laluan kepada MCA sebagai "bukti mendukung politik pelbagai kaum" sebagai masih terperangkap dalam "pemikiran politik kaum yang sempit".

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan-Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Tanjung Piai merupakan kerusi tradisi MCA dan ketua parti berkenaan Wee Jeck Seng telah menyandang kerusi tersebut selama dua penggal sebelum tewas pada PRU14 kepada Dr Farid daripada Bersatu.

Lihat Komen
ADS