Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amanah Sepang gesa pemilihan kedua ditangguhkan
Diterbitkan:  Oct 3, 2019 5:47 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Ketua Amanah Sepang Azlee Ismail mendesak pemilihan jawatankuasa amanah kawasan kali kedua ditangguhkan sehingga status bagi 655 cawangan parti itu yang terluput sebelum ini dapat dipulihkan dan disahkan.

Menurut memorandum yang dikatakan akan dihantar ke pihak Amanah pada esok (4 Okt), dia mahu semua cawangan parti yang terluput diberi peluang yang adil dalam pemilihan kali kedua.

“Tujuan memorandum ini adalah menyatakan beberapa usul utama berkaitan perkara berikut iaitu mendesak bagi menangguhkan pemilihan jawatankuasa amanah kawasan kali kedua sehingga status 655 cawangan-cawangan parti Amanah yang terluput dapat dipulihkan dan disahkan menurut Akta 355 Perlembagaan Pertubuhan 1966.

“Memberi peluang kepada semua cawangan-cawangan yang luput, yang akan disahkan semula untuk menghantar perwakilan dari peringkat akar umbi untuk mendapatkan hak bagi memilih semula perwakilan untuk mengundi calon-calon yang akan bertanding secara lebih kolektif, telus dan adil,” menurut memorandum yang dikongsi dengan Malaysiakini hari ini.

Pada 22 Sept lalu, Malaysiakini melaporkan Amanah pusat mengarahkan sebanyak 655 cawangan dan 81 kawasan - termasuk sayap pemuda dan wanita - mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan semula selepas mesyuarat sebelum ini tidak sah.

Sumber mendakwa isu itu berbangkit kerana kelemahan pengurusan Amanah di peringkat ibu pejabat yang tidak meneliti atau menyerahkan minit-minit mesyuarat daripada pelbagai peringkat parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Sementara itu, aktivis Amanah Sepang, Ahmad Fuad Abd Rahman ketika berkunjung di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya hari ini menjelaskan desakan itu dibuat kerana 655 cawangan tersebut tidak dibenarkan menghantar bagi pemilihan kali kedua selagi status cawangan tersebut belum disahkan.

“Pihak cawangan-cawangan yang terluput disebabkan oleh kegagalan sekretariat di Wisma Amanah Nasional mematuhi peraturan pertubuhan ROS menghantar segala dokumen minit mesyuarat tahunan, perlu bertanggungjawab memulihkan pengesahan kepada 655 cawangan dengan segera.

“Pihak sekretariat di Wisma Amanah Nasional tak seharusnya mengabaikan suara akar umbi daripada 655 cawangan yang terdiri daripada sekitar 13,100 orang, hanya disebabkan oleh kegagalan mereka mengurus tadbir organisasi parti,” kata Ahmad Fuad.

Ahmad Fuad menambah, sebelum ini pihaknya telah menyerahkan satu memorandum bagi mengekalkan jawatankuasa Amanah kawasan dilantik bagi sesi 2019-2022 kepada ibu pejabat Amanah.

Untuk rekod, pada 24 Sept, Anuar berkata terserah kepada kawasan sama ada mahu mengadakan semula mesyuarat agung tahunan dan pemilihan, atau mengesahkan pelantikan sebelum ini jika anggota parti peringkat itu berpuas hati

Anuar memberitahu Malaysiakini, cadangan harus datang daripada anggota Amanah bagi menentukan langkah yang perlu diambil selepas ini.

Menurut anggota parlimen Temerloh itu, dengan adanya pemilihan dan mesyuarat agung tahunan sekali lagi, tokoh yang kalah sebelum ini boleh bertanding semula jika mereka mahu.

Lihat Komen
ADS