Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas lebih setahun gabungan Pakatan Harapan menjadi kerajaan baru, kedengaran suara ketidakpuashatian terhadap pemerintahan selepas menundukkan BN pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Terdapat kajian menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia tidak kira bangsa berpandangan PH masih jauh dari dasar yang dijanjikan ketika menjadi pembangkang.

Persoalannya, di mana kesilapan? Kenapa kerajaan PH masih tidak dapat berfungsi untuk memenuhi keperluan rakyat?

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ada kakitangan awam yang mahu kerajaan PH ditumbangkan dan mengembalikan “kerajaan yang membenarkan rasuah”.

Anaknya, Mukhriz Mahathir yang juga menteri besar Kedah pula menyarankan supaya mengambil tindakan tegas dikenakan terhadap penjawat awam yang mensabotaj kerajaan.

Mahathir dan kabinetnya

Semalam, Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan Sazmi Miah mendakwa masih ada penjawat awam menyokong pembangkang.

Dengan merangkumi lebih 1.3 juta penjawat awam, birokrasi Malaysia merupakan antara terbesar di dunia dengan ratio 4.5 peratus kepada 32 juta penduduk.

Tetapi betulkah ada usaha penjawat awam mensabotaj kerajaan PH?

Seorang pakar penganalisis politik mempunyai pandangan berbeza dalam perkara ini.

Profesor Madya Dr Mohd Mizan Aslam, Pakar Kajian Strategik, Universiti Malaysia Perlis (UMP) berkata beliau tidak nampak sebarang usaha mensabotaj kerajaan PH sekarang ini.

Sebaliknya, perubahan ideologi menjadi satu penghalang antara pemerintah dengan penjawat awam.

"Mereka (penjawat awam) sedia bekerjasama dengan kerajaan baru.

"Mungkin, tidak wujud selesa pada awal. Saya lihat bahawa mereka terlalu lama berada di bawah kerajaan BN.

“Mereka rasa BN menjamin masa depan dengan satu jalan dan satu cara. Tiba-tiba ada kerajaan baru.

"Tapi, ini tidak bermakna mereka sabotaj kerajaan baru. Cuma perubahan ideologi membuat mekanisme kerajaan dan kesediaan mereka agak tidak laju," katanya kepada Malaysiakini.

Mohd Mizan Aslam

Namun, Dr Mizan juga mengakui selepas hampir dua tahun memerintah seharusnya keadaan ini tidak wujud lagi.

Menurutnya, walaupun beberapa menteri sudah mula menunjukkan progresif dalam soal pengurusan, masih ada yang gagal dalam soal itu.

"Antara faktor yang penting di sini adalah faktor pendorong dan faktor penarik.

"Contohnya, kita (menteri) mendorong penjawat bawahan untuk berkerja bersungguh-sungguh. Tapi, adakah kita menunjukkan sikap profesional.

“Saya tidak menentang kerajaan yang baru. Tetapi, kita perlu mengakui masih ada yang gagal menjalankan tugas.

Dr Mizan menjelaskan bahawa faktor penarik itu bermaksud seorang menteri perlu menunjukkan sikap profesional dan kebolehan untuk memenangi hati rakyat.

"Bagi mendorong seseorang, menteri perlu menilaikan dan menyediakan diri sendiri untuk sentiasa bersama penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Sementara itu, Dr Mizan menyifatkan adalah penting bagi kerajaan terus mengekalkan dasar-dasar baik era pemerintahan terdahulu untuk mengekalkan kesefahaman penjawat awam.

"Yang baik kita perlu kekalkan. Kalau boleh menambah baik. Bukan membuang. Sebab, penjawat awam juga mempunyai pemerhatian dan penilaian mereka sendiri terhadap menteri dan kementerian.

"Sekiranya, seorang menteri menukar dasar atau polisi yang baik untuk kepentingan diri sendiri atau motif politik, maka dia akan menghadapi kesukaran penjawat awam menjalankan tugas."

Beliau menyifatkan ia sebagai ketidakselesaan dan rasa tidak puas hati di tempat kerja kepada penjawat yang mampu memberi kesan kepada prestasi sesebuah kementerian.

"Ia bukan sabotaj, Tetapi, kesilapan menteri itu sendiri," kata Dr Mizan.

"Tapi, masih ada ruang dan masa untuk kerajaan memperbaiki kelemahan sendiri," tambahnya.

BN dan PH tak banyak beza?

Mempunyai pandangan yang hampir sama dengan Dr Mizan, Timbalan Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan menegaskan kerajaan PH tidak boleh menyalahkan penjawat awam atas kegagalan pemerintahan.

"Pada pandangan saya, kerajaan tidak boleh menyalahkan penjawat awam. Saya pernah jadi ahli majlis dan tidak pernah menghadapi isu sabotaj.

"Kalau ada kesilapan, kerajaan mesti bertanggung jawab bukan menuduh penjawat awam," katanya ketika dihubungi.

"Mereka kata sangat telus. Tapi, ramai percaya kerajaan sekarang ini tidak banyak berbeza dengan kerajaan terdahulu," tambah beliau.

S Arutchelvan 

Walaupun begitu, Arul mengakui agensi pencegah rasuah diberi kuasa, SPRM masih mengamalkan budaya yang lama.

"Masih ada arahan daripada atas. Kalau menteri membuat silap, mesti bertanggungjawab, tidak boleh mempertahankan atau menyembunyi di belakang (salahkan penjawat awam).

"Kerajaan hari ini yang mempunyai ideologi berbeza dengan kerajaan terdahulu perlu memastikan penjawat awam memahami kehendak kerajaan hari ini," tambahnya.

Lihat Komen
ADS