Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M sedia dedah laporan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beliau secara peribadi tidak mempunyai masalah untuk mendedahkan laporan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) kepada orang ramai.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, keputusan itu bukanlah hanya terletak sepenuhnya di tangannya, tetapi semua pihak dalam PH yang menurutnya, masing-masing mempunyai agenda tersendiri.

“Kalau kamu tanya saya, saya akan siarkan (laporan itu).

“Tapi saya bukan ejen bebas, kena ingat kami (PH) ada lima parti dalam kerajaan, setiap satu ada agenda mereka tersendiri, dan jika saya mahu amalkan demokrasi, saya perlu runding dengan mereka dulu.

“Ia bergantung pada muafakat yang kami capai, tapi sudah tentu, saya suka jadi popular. Kalau kamu mahu saya dedahkan, saya akan dedahkan,” katanya disambut tawa hadirin yang hadir.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Persidangan Lawasia Constitutional and Rule of Law di Hotel One World, Petaling Jaya hari ini.

Beliau menjawab soalan salah seorang anggota IRC, S Ambiga yang memintanya menimbangkan untuk menyiarkan laporan tersebut supaya ia boleh mendapat maklum balas daripada orang ramai.

“Lagipun, kami cukup bijak mengundi kamu (sebagai kerajaan), saya rasa orang awam cukup bijak untuk memberikan maklum balas yang sepatutnya. Tolong siarkan laporan IRC,” pinta Ambiga.

IRC ditubuhakan oleh Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), tidak lama selepas kemenangan PH dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 Mei tahun lalu bagi melihat, mengenal pasti masalah, memeriksa dan mencadangkan pembaikpulihan terhadap beberapa institusi penting negara.

Antara institusi yang dilihat dan dinilai IRC ialah Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan agensi-agensi penguat kuasa seperti polis.

Laporan IRC diserahkan kepada ECP tahun lalu, namun ia tidak didedahkan kepada umum.

Pada Ogos tahun lalu, Ambiga turut menyuarakan saranan sama agar laporan IRC didedahkan kepada umum kerana berasakan pandangan rakyat perlu diambil kira dalam melakukan proses perubahan.

Laporan ini disediakan oleh M Fakhrull Halim, Annabelle Lee, dan Hidir Reduan Abdul Rashid.

Lihat Komen
ADS