Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sentiasa memantau kegiatan meminta sedekah dan pungutan khairat yang dilakukan di negeri itu, kata khutbah Jumaat yang disampaikan di seluruh Selangor hari ini.

Mimbar berkata tindakan itu dibuat kerana terdapat individu dan kumpulan menyalahgunakan kebaikan bersedekah dan menjalankan kegiatan meminta derma tanpa kebenaran.

Menurut khatib, Mais melalui Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dari semasa ke semasa akan mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan berkenaan.

"Pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) juga sentiasa melaksanakan operasi membanteras warga asing yang mengutip derma di negeri ini dan sehingga kini lebih 30 orang warga asing telah ditangkap kerana membuat kutipan derma tanpa kebenaran Mais," kata khutbah berkenaan.

Menurut khatib golongan ini didapati menggunakan kanak-kanak untuk tujuan tersebut dengan memaksa mereka menjual cakera padat syarahan agama, kismis, buku dan sebagainya.

"Walaupun sedekah itu sesuatu yang sangat digalakkan dalam Islam, tetapi terdapat segelintir masyarakat menyalahgunakan kebaikan orang yang suka menginfaqkan atau mendermakan hartanya.

"Dengan sikap kemurahan hati yang wujud dalam diri, sebahagian masyarakat mudah sahaja menghulurkan derma tanpa berfikir panjang," tambahnya.

Katanya lagi, walaupun pihak Mais membenarkan individu dan kumpulan meminta derma atau sumbangan setelah mendapat kelulusan bertulis daripada badan itu, masih terdapat segelintir yang ingkar dengan panduan tersebut.

Mengikut Seksyen 106, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, sesiapa yang melanggar dan tidak mendapat kebenaran Mais boleh didenda melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.