Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Melihat sejarah politik M'sia, ahli akademik sokong undang-undang antilompat parti

Seorang ahli akademik dari Singapura menyokong undang-undang antilompat parti untuk ahli politik di Malaysia, dengan mengambil kira sejarah politik negara ini.

Prof Kevin Tan dari Singapore Management University menyatakan perkara itu ketika sesi soal jawab di Lawasia Constitutional and Rule of Law Conference 2019 di Petaling Jaya, hari ini.

Gesaannya itu bertentangan dengan jawapan yang diberi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum itu yang mengatakan tiada keperluan untuk undang-undang itu di Malaysia.

Tan menjawab soalan hadirin berkenaan sama ada dia setuju dengan pendirian Mahathir itu.

Ketika satu sesi yang dimudahcara oleh peguam S Ambiga, Tan berkata undang-undang itu diperlukan selepas mengambil kira tindakan ahli politik yang tiba-tiba lompat parti ketika saat-saat penting selepas pilihan raya umum.

"Saya tidak setuju dengan respons Tun (Mahathir). Undang-undang antilompat parti penting, selepas melihat sejarah politik di Malaysia.

"Kita melihat parti (politik) dan ahli parti (politik berbeza) dipikat untuk menukar parti ketika saat penting selepas pilihan raya. Ada orang yang tukar parti, dan (situasi di mana) seseorang ke istana untuk melantik menteri besar baru.

"Ia lebih bahaya daripada apa yang dilihat sebagai hak untuk melompat (parti)," katanya.

Sebelum itu, Mahathir berkata tiada keperluan untuk undang-undang seumpama itu kerana anggota parli politik yang berkaitan dengan "kerajaan yang tidak baik" mungkin perlu menukar parti.

"Ketika berdepan keadaan di mana kerajaan memang teruk, dan anda tak boleh lompat, adakah anda masih perlu kekal dalam kerajaan? Saya fikir ia tak akan menyumbang kepada tadbir urus yang baik.

"Jadi saya rasa anda patut boleh lompat dan tukar parti. Dan anda lakukannya atas sebab yang baik, bukan kerana anda rasa jika rapat dengan perdana menteri baru, anda mungkin akan jadi menteri. Jika itu sebab anda lompat, ia tidak baik," kata Mahathir.

Pada 17 Oktober 2018, Menteri di Jabatan Perdana Meenteri Liew Vui Keong berkata kerajaan tidak merancang untuk menggubal undang-undang bagi menghalang anggota parlimen menukar parti.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpandangan semua warga diberi kebebasan berpersatuan selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Liew berkata, keputusan itu juga berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nordin Salleh, seorang adun Kelantan yang melompat dari PAS ke BN pada 1992.

Pada masa itu Mahkamah Persekutuan memutuskan undang-undang antilompat parti oleh PAS bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Selepas PRU lalu, sejumlah anggota Umno turut mengumumkan keluar dari parti itu.

Laporan ini disediakan oleh M Fakhrull Halim, Annabelle Lee, dan Hidir Reduan Abdul Rashid.

Lihat Komen
ADS