Undang-undang alam sekitar negara yang lemah menyebabkan pemilik pelupusan sampah menggunakan sistem kambus yang tidak terurus, terlepas daripada dikenakan tindakan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Azmi Khalid berkata, kerana kelemahan tersebut, kerajaan tidak kerajaan tidak dapat bertindak terhadap mereka yang terbabit.

"Hanya Bukit Tagar yang diberi syarat supaya Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dilakukan. Yang lain tidak dikenakan syarat itu," katanya.

Azmi berkata, keadaan itu berlaku kerana undang-undang alam sekitar sekarang tidak menyatakan sama ada kerajaan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik tempat pelupusan sampah yang menggunakan sistem terbabit.

"Jadi, bila tidak memohon kebenaran, mereka tak diberi prasyarat. Kelemahan undang-undang menyekat tindakan diambil terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ekspo hartanah Malaysia (MAPEX) 2006 di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut laporan Bernama, Ketiadaan logi rawatan "leachate" di pusat pelupusan sampah Bukit Tagar menyebabkan berlaku pencemaran Sungai Selangor.

Azmi bagaimanapun berkata walaupun ada kekurangan di Bukit Tagar, ia masih dianggap pusat pelupusan terbaik di negara ini.

"Jika anda nak lihat, pergilah tengok semua pusat pelupusan sampah, termasuk Bukit Tagar. Saya sendiri dah melawatnya, ia merupakan pusat pelupusan sampah yang terbaik di Malaysia.