Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pekerja berpiket dakwa syarikat sengaja tangguh rundingan kesatuan sekerja

Pekerja syarikat elektronik di Banting terus berpiket hari ini, dengan menuduh syarikat itu sengaja menangguhkan rundingan kesatuan sekerja.

Perkembangan itu hadir tiga tahun selepas syarikat sama, Renesas Semiconductor KL Sdn Bhd, didapati bersalah oleh Mahkamah Perusahaan kerana tindakan pembasmian kesatuan sekerja (union busting).

Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia (KSIEWBSM) Bruno Periera memberitahu Malaysiakini bahawa kira-kira 200 pekerja menyertai piket berkenaan.

Menurutnya, kira-kira 200 pekerja lain syarikat itu bersolidariti dengan hadir ke tempat kerja memakai baju kesatuan sekerja berkenaan.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, beliau berkata kesatuan itu telah mengemukakan cadangan perjanjian kolektif yang terdiri daripada 58 artikel kepada syarikat itu pada Jun 2018.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, kedua-dua pihak hanya membuat perjanjian untuk hanya 15 artikel.

Periera berkata perkembangan perlahan rundingan adalah kerana Renesas didakwa hanya memperuntukkan beberapa jam sebulan untuk perbincangan dengan kesatuan, dan telah menolak panggilan untuk mesyuarat mingguan.

"Pada kadar semasa perjanjian kolektif mungkin akan selesai dalam setahun atau dua tahun lagi," katanya.

Dia juga mendakwa bahawa syarikat itu telah menolak dan enggan berunding mengenai tiga artikel iaitu berhubung tarikh dan tempoh perjanjian, bahasa dan salinan perjanjian, serta daftar keluar untuk cukai kesatuan.

"Syarikat dengan rekod tingkah laku antikesatuan, terus menangguhkan rundingan perjanjian kolektif," kata Pereira.

Malaysiakini telah menghubungi Renesas untuk mendapatkan ulasan.

Pereira berkata pekerja akan berpiket lagi Jumaat ini dan Jumaat seterusnya.

Mereka juga merancang membawa kes mereka ke Mahkamah Perusahaan.

EIEUWR dibentuk pada tahun 2009, dan Renesas adalah syarikat pertama di mana ia menganjurkan kesatuan.

Bagaimanapun, syarikat itu menolak mengiktiraf kesatuan berkenaan pada Jan 2010 dan kemudiannya cuba membentuk kesatuan sekerja dalaman.

Presiden pertama kesatuan dipecat oleh Renesas pada tahun 2011 kerana didakwa mengancam syarikat itu di halaman Facebooknya.

Mahkamah kemudian mendapati bahawa tindakan itu adalah taktik pembasmian kesatuan sekerja.

Pereira berkata rayuan Renesas terhadap dakwaan memcahkan kesatuan dibatalkan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Lihat Komen
ADS