Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tak perlu demonstrasi jalan raya tumbangkan PH

Umno tidak perlu menggunakan demonstrasi jalanan bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Armand Azha Abu Hanifah.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, pembangkang masa kini lebih matang berbanding era PH yang menurutnya menjadikan demonstrasi dan fitnah bagi menyerang kerajaan.

"Kita (Umno) menunjukkan perubahan sikap sebagai pembangkang yang matang dan profesional, tidak bertindak mengikut emosi.

"Apabila ada dasar yang tidak bela rakyat, kita suarakan ikut saluran bukannya demonstrasi, kita ada perhimpunan di PWTC (merujuk Himpunan Penyatuan Ummah) puluhan ribu orang datang, tak ada masalah, tidak ada kekacauan.

"Kita tak perlu turun ke jalan raya untuk sesuatu bantahan, ini bezanya apabila Umno dan PAS jadi pembangkang, kita ada himpunan ICERD, kita buat ikut peraturan tanpa kekacauan dan pastikan Dataran Merdeka bersih," katanya kepada Malaysiakini.

Ketika masih menjadi Exco Pemuda Umno, Armand merupakan pemimpin di barisan hadapan dalam menangani himpunan lawan politik partinya.

Pada tahun Nov 2016, Armand pernah mengetuai "demonstrasi baldi" di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK).

Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, pada bulan Julai 2017 Armand juga antara pemimpin Pemuda Umno yang berada di barisan hadapan menghalang kumpulan Pemuda Bersatu (Armada) yang mahu menghantar jemputan forum kepada Najib Razak yang merupakan presiden Umno ketika itu.

Sebelum aktif dalam Pemuda Umno, Armand pernah dilantik sebagai ketua wira Perkasa.

Ditanya sama ada Umno khususnya sayap pemuda sudah tiada barisan hadapan untuk mengasak kerajaan hari ini, beliau berkata situasi hari ini adalah berbeza.

"Kena faham, pada masa itu kita berhadapan dengan provokasi-provokasi PH yang mahu ganggu gugat imej dan maruah parti," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pencapaian Pemuda Umno di bawah kepimpinan Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Armand berkata sayap parti itu berjaya menembusi anak muda daripada pelbagai segmen.

Katanya, yang lebih membanggakan lagi apabila Pemuda Umno berjaya mewujudkan pasukan beruniform Skuad Sabil.

"Inisiatif ini sangat baik dan ini sebahagian daripada apa yang saya cita-cita sewaktu dalam Pemuda Umno mewujudkan pasukan beruniform.

"Bagi saya ini adalah salah satu langkah yang cukup baik untuk menarik anak muda," tambahnya.

Jelasnya, Pemuda Umno bergerak dalam pelbagai landskap politik dengan pelbagai segmen ada muda telah berjaya melakukan perubahan.

Lihat Komen
ADS