Paling Popular
Terkini

Kerajaan digesa mempercepat penubuhan majlis media Malaysia untuk mengukuhkan peranan media agar dapat beroperasi secara bebas.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Malaysiakini Premesh Chandran membuat gesaan itu semasa sesi bertajuk, "Mekanisme Akauntabiliti Bukan Kehakiman: Akhbar dan Ombudsman" di Lawasia: Keperlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang di Petaling Jaya hari ini.

Chandran berkata pada bulan Jun tahun ini, pelbagai organisasi media termasuk Malaysiakini mengusulkan cadangan penubuhan majlis media.

"Kami berharap kerajaan akan mempercepatkan perkara itu supaya kami akan mempunyai majlis media kami sendiri untuk memainkan peranan yang kuat dalam mengukuhkan media agar kami dapat beroperasi secara bebas dan melaporkan isu-isu kepentingan awam," katanya.

Pada 12 Sept, dilaporkan bahawa Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam proses menyediakan kertas kabinet mengenai undang-undang untuk Majlis Media Malaysia.

"Saya harap saya dapat membentangkannya tidak lama lagi kepada kabinet," kata menterinya, Gobind Singh Deo.

Semasa forum soal jawab hari ini, beliau menjelaskan bahawa terdapat proses untuk pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Anti-Berita Palsu 2018.

Proses itu diperlukan sebelum kerajaan dapat melihat isu-isu lain seperti penggunaan media sosial sebagai satu bentuk serangan terhadap orang lain.

"Kerajaan Pakatan Harapan dalam manifestonya membincangkan mengenai pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

"Itulah yang kami mahu tangani terlebih dahulu, selain pemansuhan Akta Anti-Berita Palsu sebelum kita melihat isu-isu lain," katanya.

Chandran turut menyuarakan kebimbangan sama mengenai media sosial.

"Ini adalah kebimbangan besar bahawa media sosial sedang digunakan sebagai alat untuk menyerang, " katanya.

Berhubung dengan penubuhan Majlis Media Malaysia, Chandran berkata teladan boleh diambil dari Indonesia yang telah menubuhkan majlis media sendiri lebih awal.

Majlis Media Indonesia menjadi bebas pada tahun 1999, setahun setelah Suharto meletak jawatan sebagai presiden setelah 31 tahun memerintah.

"Kami melihat model Indonesia sebagai satu contoh kuat yang dekat dengan kita yang boleh kita ikuti," kata Chandran.

*Laporan oleh Hidir Reduan Abdul Rashid, M Fakhrull Halim & Annabelle Lee.

Lihat Komen
ADS