Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur kongres beri alasan dangkal tak jemput Anwar

ULASAN | Sejak saya mengeluarkan kenyataan mempersoalkan kewajaran beberapa institut pengajian tinggi awam (IPTA) menganjurkan Kongres Maruah Melayu, beberapa naib canselor terpanggil mengeluarkan pelbagai kenyataan mempertahankan tindakan mereka.

Penafian bahawa mereka bukan tunggangan parti politik tidak perlu saya ulas. Orang Melayu dan rakyat Malaysia bukan naif dan antiakal. Mereka tahu menilai yang batil dan yang benar.

Jika benar penganjur kongres ini bukan tunggangan ahli politik, kenapa Presiden PKR Anwar Ibrahim, bakal perdana menteri Malaysia yang kelapan tidak dijemput?

Beliau bukan pemimpin biasa-biasa. Beliau membidani kelahiran gerakan reformasi di Malaysia dan merupakan tokoh Melayu yang progresif. Malah beliau adalah perdana menteri menunggu yang harus mengetahui dengan jelas kebimbangan dan isu orang Melayu.

Jika beliau yang sedang menunggu peralihan kuasa ini pun dianggap bukan sebahagian daripada pemegang taruh kepentingan orang Melayu, siapa lagi yang lebih layak?

Telahan saya, barangkali Bersatu telah memperkudakan IPTA agar tidak menjemput Anwar kerana antara tujuan tidak langsung kongres ini adalah untuk menggagalkan pelan peralihan kuasa kepada beliau.

Alasan menyatakan bahawa kongres ini terbuka kepada semua orang Melayu justeru tidak memerlukan beliau dihantar jemputan khusus adalah sangat dangkal dan terdesak.

Prof Zainal Kling

Kemudian keluar pula kenyataan Prof Zainal Kling sebagai penganjur bahawa Anwar tidak dijemput kerana beliau mewakili PKR, sebuah parti yang terdiri dari pelbagai bangsa dan bukannya orang Melayu sahaja.

Saya sama sekali tidak menyangka jawapan sebegini boleh terpacul dari mereka yang menggelar diri sebagai cendekiawan Melayu.

Yang pasti, kesemua IPTA terlibat akan dihakimi wibawa mereka pada 6 Oktober ini. Seluruh Malaysia akan melihat bentuk wacana yang akan mereka persembahkan dan kecerdasan apakah yang akan mereka kemukakan demi maruah bangsa Melayu.

Kepada menteri pendidikan dan semua naib canselor yang terlibat, ingatlah, apa yang anda lakukan ini sangat memperjudikan kewibawaan dan nama baik universiti awam.

Namun, kami tidak akan menghukum melulu. Umno akan menghantar wakil untuk melihat apa sebenarnya pengisian dan Kongres Maruah Melayu ini.

Jika anda gagal memaparkan pemikiran, idea dan naratif lebih konkrit untuk kebolehsaingan bangsa Melayu dalam kongres yang sangat bersifat politik ini, saya yakin IPTA kita bakal terjerumus jatuh ke tahap keyakinan paling rendah dalam masyarakat. 


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno dan bekas menteri besar Johor.

Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS