60 orang terkorban di Iraq, tunjuk perasaan semakin merebak
Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh sejak tunjuk perasaan antikerajaan meletus di seluruh Iraq pada awal minggu ini, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan kementerian kesihatan negara itu.
Lebih 2,500 orang turut cedera sejak tunjuk perasaan bermula pada 1 Okt di Baghdad dan wilayah selatan negara itu, kata seorang pegawai kementerian terbabit yang enggan dikenali.
Anggota pasukan keselamatan adalah antara yang terkorban, kata pegawai itu tanpa memberikan angka yang tepat.
Penunjuk perasaan yang berang menyerbu majlis wilayah di Al-Diwaniyah yang didominasi puak Syiah di selatan Iraq pada Jumaat, menurut seorang pegawai polis.
"Ratusan penunjuk perasaan menyerbu bangunan majlis wilayah itu selepas pertempuran sengit dengan pasukan keselamatan," kata Leftenan Polis Jassim al-Tamimi kepada Anadolu.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan cedera akibat terkena tembakan dan polis cedera dibaling batu dalam pertempuran itu.
Penunjuk perasaan telah menuntut agar keadaan hidup diperbaiki dan rasuah dihentikan. Pasukan keselamatan telah dilapor melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan dalam usaha menyuraikan mereka, yang mengakibatkan banyak kemalangan jiwa berlaku.
Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi mengarahkan satu perintah berkurung yang dikuatkuasakan kerajaan ditarik balik di Baghdad dan beberapa bandar lain di selatan setakat pukul 5 pagi waktu tempatan (0200 GMT) pada Sabtu, lapor media rasmi.
- Bernama

