Pemuda MCA bidas kenyataan Rashid umur 18 'belum matang'
Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong membidas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) Abdul Rashid Abdul Rahman yang mempersoalkan keputusan membenarkan calon berumur 18 tahun bertanding dalam pilihan raya.
Wong menyifatkan kenyataan Abdul Rashid yang mengatakan golongan itu belum cukup matang untuk menjadi wakil rakyat sebagai 'regresif'.
"Jika kita kira umur sebagai faktor kelayakan, yang mana hanya mereka yang berumur 35 tahun dan ke atas layak bertanding, maka mengapa rasuah dan salahguna kuasa kebanyakannya dilakukan oleh orang dewasa yang dianggap matang ini.
"Salah satu tanggungjawab utama wakil rakyat adalah untuk memberi input dan melakar masa depan negara.
"Dengan mengambil kira mereka sebagai kunci kepada masa depan, mengapa tidak golongan muda mempunyai suara dalam menentukan masa depan mereka, dan bukan perlu diserahkan kepada orang lain yang tidak mempunyai pemikiran progresif atau yang berkongsi masalah mereka?" katanya dalam kenyataan media.

Wong mempersoalkan mengapa kenyataan Abdul Rashid dibuat beberapa bulan selepas rang undang-undang bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun diluluskan di parlimen.
"Oleh itu, teguran Pengerusi ERC hanya menyerlahkan ketidakupayaan jawatankuasa itu untuk semak dan imbang terhadap reformasi pilihan raya," katanya.
Abdul Rashid, yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada Rabu lalu berkata calon berusia 18 tahun terlalu muda untuk bertanding dalam pilihan raya.
"Kita perlu wakil rakyat yang boleh menjaga kebajikan rakyat. Anak-anak muda tidak sesuai.
"Secara peribadi, biarlah mereka yang berusia 35 tahun ke atas menjadi calon. Biarkan mereka yang mempunyai komitmen, mempunyai keluarga dan ada pekerjaan memikul tanggungjawab terhadap masyarakat terlebih dulu," katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun baru-baru ini berkata calon berusia 18 tahun layak bertanding dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.
Bagaimanapun Azhar berkata golongan itu masih belum boleh mengundi kerana ia belum dikuat kuasakan pelaksanaannya.

