Dia bukanlah seorang guru bahasa Mandarin dan bukan berketurunan Cina tetapi apa yang dilakukan oleh bekas guru di Pulau Pinang ini sangat mengagumkan apabila dia mengajar bahasa itu kepada rakan-rakanya.

Lebih menarik, sesi pembelajaran itu berlangsung selepas tamat kelas al-Quran yang disertainya.

Perkara itu mula menjadi tular selepas klip video yang dirakam oleh guru mengajinya itu dikongsikan di laman sosial Twitter baru-baru ini.

Menurut Ropia’ah Othman yang merupakan bekas guru di sekolah jenis kebangsaan Cina sebelum bersara pada 2017, dia mula melakukan sesi pengajaran bahasa Mandarin itu selepas terdapat permintaan daripada rakan-rakan di kelas mengaji yang disertainya.

 “Kawan-kawan tahu mak cik boleh berbahasa Cina, jadi mereka tanya boleh tak tolong ajarkan.

“Mak cik kata boleh. Tak ada masalah.

“Tetapi kalau boleh tak mahu ajar tulisan. Sebab mungkin susah untuk mereka faham," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, rakan-rakannya sedia maklum dia boleh berbahasa Mandarin kerana sebelum ini dia pernah mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina di negeri itu.

Sebelum bersara pada Feb 2017, dia pernah berkhidmat sebagai guru di dua buah sekolah jenis kebangsaan Cina untuk hampir sepuluh tahun.

Dia mula mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Ya pada 2007 sehingga 2012 sebelum berpindah ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chin Hwa pada 2013 selepas hampir 20 tahun mengajar di sekolah kebangsaan.

Jelas Ropia'ah, ketika berada di kedua-dua sekolah tersebut dia hanya mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris serta beberapa subjek sampingan dan bukannya ditugaskan untuk mengajar bahasa Mandarin.

“Kadang-kadang tu mak cik banyak sangat guna bahasa Mandarin sampaikan ada ketika nak guna bahasa Melayu tu rasa kekok sikit,” katanya dalam nada bergurau.

Menceritakan bagaimana sesi pembelajaran itu berlaku, dia menjelaskan semuanya berlangsung di tempat sama dia dan rakan-rakannya mengikuti kelas mengaji al-Quran di Padang Cempedak, Tasik Gelugor.

“Dalam satu jam setengah kita belajar tajwid kemudian dalam lima belas minit kita luangkan untuk belajar Mandarin,” katanya.

Proses pembelajaran itu, katanya, berlangsung secara spontan dan santai antara dia dan rakan-rakan mengajinya.

“Mak cik juga ikut atas kawan-kawan yang tanya macam mana nak sebut sesuatu perkataan,” tambahnya.

Kelas tersebut juga jelasnya memfokuskan kepada cara sebutan dan mereka digalakkan untuk menghafal frasa yang kebiasannya digunakan dalam percakapan seharian.

“Kebetulan ketika itu ada kawan yang menjual ubi kayu, jadi mak cik mengajar kawan-kawan yang lain cara membeli dalam bahasa Mandarin,” katanya.

Tambah Ropia'ah, video yang tular baru-baru ini bukanlah sesi mengajar yang pertama dilakukannya bersama rakan-rakan mengajinya.

Penerimaan terhadap kelas bahasa mandarin itu juga menurutnya semakin bertambah sejak kali pertama diadakan sebelum ini dengan semakin ramai rakan-rakan di kelas mengaji yang menyertainya.

“Mula-mula tu dalam sepuluh orang saja. Kemudian bertambah ramai.

“Hari ni (Jumaat semalam) paling ramai. Dalam 25 orang yang menyertai kelas saya,” katanya.