Kanak-kanak mempunyai hak untuk bermain tanpa rasa takut dijangkiti campak, pertusis (batuk kokol), cacar air dan penyakit lain daripada rakan mereka yang ibu bapanya enggan memvaksinkan anak mereka, kata pakar pediatrik dan neonatologi Dr Musa Mohd Nordin.

Perunding pediatrik dan neonatologi di Hospital Pakar Damansara itu berkata seseorang kanak-kanak yang tidak mendapat vaksin mempunyai potensi meningkatkan risiko menyebarkan masalah pertusis sebanyak 23 kali, cacar air sembilan kali, selain penyakit lain.

“Seperti merokok, dengan peningkatan risiko kanser dan penyakit jantung, Kementerian Kesihatan memutuskan supaya perokok tidak mendedahkan asap rokok kepada orang lain yang tidak merokok.

“Begitu juga kanak-kanak yang tidak bersalah ini mempunyai hak untuk bermain tanpa khuatir dijangkiti campak, pertusis, cacar air atau penyakit lain daripada rakan mereka yang ibu bapanya percaya semua yang dibaca dalam Internet.

"Kebebasan memilih adalah perkara baik, (tetapi) kebebasan untuk membahayakan orang lain, tidak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Musa berkata kekhuatiran bahawa pemberian beberapa jenis vaksin akan melemahkan dan menjejaskan imun kanak-kanak yang terdedah adalah salah secara saintifik.

Katanya sistem imun kanak-kanak adalah lebih kuat berbanding apa yang dibayangkan oleh orang ramai.

“Sel-sel sentiasa dipulihkan, dan dianggarkan sekiranya semua vaksin berjadual diberikan kepada seorang kanak-kanak pada satu-satu masa, hanya 0.1 peratus daripada ruang imun akan digunakan.

“Vaksin yang ada sekarang juga mengandungi sedikit antigen. Pada masa lalu, satu dos cacar mempunyai 200 antigen, hari ini, hanya 150 antigen dalam 14 vaksin yang diberi kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod lampau, penyakit cacar membunuh 300 juta orang pada abad ke-20 sebelum ia dibasmi oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menerusi kempen vaksin global pada 1980.

Menurut Dr Musa, vaksin menghalang 2.5 juta kematian dan 3.25 juta ketidakupayaan setiap tahun, dan terdapat peluang untuk menyelamatkan 2.5 juta lagi nyawa setiap tahun sekiranya vaksin digunakan lebih meluas.

“Kanak-kanak dengan 'dormant underlying diseases' perlu diimunisasi kerana mereka terdedah dengan jangkitan, dan tiada bukti yang menunjukkan vaksin mencetuskan kesulitan ini,” katanya.

- Bernama