Ahli Parlimen belum dibenarkan pakai pakaian alternatif baru
Ahli Parlimen belum dibenarkan memakai pakaian alternatif baru kakitangan kerajaan semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat kecuali mendapat kebenaran sementara daripada Speaker.
Ahli Parlimen belum dibenarkan memakai pakaian alternatif baru kakitangan kerajaan semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat kecuali mendapat kebenaran sementara daripada Speaker.
Speaker Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata pemakaian baju alternatif baru bagi ahli Parlimen akan dikemukakan kepada Dewan Rakyat tidak lama lagi setelah beberapa proses tertentu selesai
Beliau menjelaskan demikian sebagai mengulas kehadiran Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengenakan pakaian alternatif semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat semalam telah mencetuskan perbahasan antara beberapa ahli Parlimen.
Mereka inginkan penjelasan sama ada pakaian itu telah diluluskan oleh Speaker atau tidak.
Rais yang hadir bagi membentangkan Rang Undang-Undang Akademi Seni Budaya Warisan Kebangsaan 2006, tampil berpakaian baju kemeja tanpa kolar berwarna hitam dan berbutang warna emas hingga ke leher dengan kot dan seluar hitam. Pakaian itu tidak memerlukan pemakaian tali leher.
Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Shahrir Samad bangun meminta penjelasan.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang merujuk peraturan mesyuarat, ingin tahu sama ada pakaian berkenaan telah diluluskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat atau tidak.
"Jika pakaian ini telah diluluskan, perkara ini harus dimaklumkan kepada kami semua kerana kami pun tidak suka pakai tali leher,'' katanya.
Menurut laporan Bernama, Ramli berkata proses itu akan memakan masa sedikit kerana ada beberapa proses teknikal yang perlu dilalui sebelum dikemukakan kepada ahli-ahli Yang Berhormat (anggota Parlimen) untuk dipilih.
Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, Ramli berkata, semua ahli Parlimen hanya dibenarkan memakai pakaian alternatif tersebut setelah proses penilaian dibuat dan dikemukakan kepada dewan.
Bukan paksaan
"Kita harap dapat putuskan (pemakaian pakaian alternatif dalam dewan) tidak lama lagi. Keputusan itu sama ada melalui penukaran peraturan mesyuarat sedia ada dan ini memakan masa sedikit kerana perlu adakan mesyuarat jawatankuasa dan perlu bentangkan usul di dewan atau melalui pemasyuran oleh saya sendiri.
"Bila semua dah selesai barulah kita benarkan ahli-ahli Yang Berhormat untuk memilih pakaian yang dicadangkan itu. Ini hanya pakaian pilihan sahaja bukan paksaan, kalau tak suka pakai pakaian yang ada sekarang yang kena pakai tie, boleh pakai pakaian yang dicadangkan itu," katanya.
Terdahulu, Ramli menerima kunjungan hormat Duta Besar Jordan Hassan Al-Jawarneh dan Duta Besar Magribi Ahmed Amaziane, di pejabatnya di Parlimen.
Kunjungan itu bertujuan membincangkan isu kepentingan bersama termasuk isu perdagangan, sosial, budaya dan pendidikan, antara kedua-dua negara.
Pada pertemuan itu Ramli mencadangkan kerajaan Magribi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada ahli perniagaan Malaysia selain membina institusi kemahiran seni bina Islam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.