Malaysiakini BERITA

Dr M: PH dah tunai 60 peratus manifesto, tapi tak janji hapus tol

Wartawan Malaysiakini

Diterbitkan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad hari ini meletakkan anggaran bahawa PH telah menunaikan 60 peratus daripada janji manifestonya setakat ini.

“Berdasarkan manifesto, kami dah capai 60 peratus daripada apa yang kami janjikan. Sudah tentu tak sepenuhnya.

“Sesetengahnya kami dah capai 100 peratus, sesetengahnya lebih rendah peratusannya,” katanya dalam sidang media selepas temu rapat PH di Hotel Saujana, Subang Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita tentang laporan Merdeka Center yang menyatakan sokongan rakyat terhadap PH semakin merosot.

Dr Mahathir berkata dia memandang hasil kaji selidik Merdeka Center itu sebagai tidak tepat.

Dalam kaji selidik berkenaan, kadar populariti PH dikatakan menjunam kepada 35 peratus setakat Ogos lalu - paling rendah semenjak mereka mengambil alih pemerintahan Mei tahun lepas.

Statistik itu menunjukkan PH merekodkan populariti 87 peratus semasa PRU ke-14 tahun lalu namun mula merudum secara ketara, khususnya pada separuh pertama tahun 2019.

Terdahulu, Dr Mahathir turut disoal sama ada temu rapat tadi ada membincangkan tentang kenyataannya sebelum ini bahawa PH menjadi mangsa kepada manifesto mereka sendiri.

Menjawab bahawa perkara itu memang ada dibicangkan, Dr Mahathir mendakwa bahawa kebanyakan daripada pemimpin PH sebenarnya tidak membaca betul-betul manifesto mereka sendiri.

“Ya, ada dibangkitkan (dalam temu rapat ini), bahawa ramai daripada kami yang tak baca betul-betul manifesto kami sendiri.

“Kami tak pernah berjanji untuk hapuskan tol, tapi ini dianggap sebagai sebahagian manifesto kami, kadang-kadang, kami terbawa-bawa dengan pandangan pihak pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun, janji ke-6 dalam manifesto PH menyatakan gabungan itu berjanji untuk mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Antara yang turut hadir dalam temu rapat itu ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Ismail; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.