Mesyuarat agung: GPMS masih tunggu arahan ROS
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) masih menunggu arahan rasmi Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan mesyuarat agung yang dijadualkan sebelum bulan Jun ini.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) masih menunggu arahan rasmi Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan mesyuarat agung yang dijadualkan sebelum bulan Jun ini.
Setiausaha Agung GPMS, Sobri Ahmad berkata, keputusan tarikh mesyuarat agung bergantung kepada surat arahan dari ROS.
"Sehingga ini kami hanya mengetahui mengenai arahan ROS supaya mengadakan mesyuarat semula secara lisan tetapi belum mendapat butiran penuh secara terperinci.
Bagaimanapun, GPMS akan mengadakannya sebelum Jun ini sebagaimana yang ditetapkan oleh perlembagaan gabungan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Baru-baru ini ROS meminta GPMS mengadakan mesyuarat agung semula kerana mendapati mesyuarat yang diadakan pada 25 Disember lalu tidak mengikut peraturan.
Kini GPMS berpecah kepada dua kumpulan satu diketuai Datuk Suhaimi Ibrahim dan satu lagi diketuai Reezal Merican Naina Merican yang masing-masing mendakwa menjadi presiden GPMS.
Badan bebas
Sobri berkata, pihaknya akan mengundang kumpulan Reezal Merican supaya turut serta mengambil bahagian dalam mesyuarat agung GPMS.
"Bagaimanapun, hanya ahli yang berdaftar dan membayar yuran tahunan boleh bertanding sebarang jawatan GPMS dalam mesyuarat agung nanti," katanya.
Beliau berkata, beberapa penyandang jawatan kumpulan Reezal Merican iiatu Timbalan Presden Syed Anuar Mohamad dan Setiausaha Agung, Nardin Awang, tidak boleh bertanding kerana mereka bukan ahli.
Sementara itu, Syed Anuar ketika dihubungi berkata, kumpulannya mahu mesyuarat agung kali ini dikendalikan oleh satu badan bebas bagi mengelakkan penyelewengan.
Katanya, jika mesyuarat tersebut dikendalikan oleh kumpulan Suhaimi, dibimbangi akan berlaku lagi penyelewengan seperti sebelumnya.
"Jika kumpulan Suhaimi enggan kami akan mengadakan mesyuarat agung berasingan seperti yang berlaku tahun lalu," katanya lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.