Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M pertahan ucapan di PBB, kata #BoycottMalaysia tak berkesan

Dr Mahathir Mohamad menegaskan pendiriannya berhubung isu Jammu dan Kashmir di Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 bertujuan untuk kedua-dua negara menyelesaikan konflik melalui rundingan bukan kekerasan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu juga turut dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

"Kita mesti tahu bagaimana menangani masalah ini. Kalau kita membuat teguran dan teguran kita tak memihak kepada sesiapa cuma menuntut kedua-dua pihak berunding dan jangan menggunakan kekerasan.

"Itu memang dasar kita, tidak guna kekerasan sebaliknya runding atau bilateral atau sistem perundang. Ini yang saya bangkitkan kepada Modi semasa jumpanya dengannya.

"Ucapan saya ini susulan daripada pendirian kita bahawa kita tak ingin lihat keganasan berlaku," katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir berada di New York dari 24 hingga 28 Sept lalu bagi menghadiri perhimpunan itu yang antara lain menyeru India untuk bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan isu tersebut. Beliau memberi peringatan bahawa ketidakpatuhan terhadap resolusi PBB akan menyebabkan pengabaian bentuk lain kepada badan dunia itu.

Sebelum itu beliau menyentuh krisis Rohingya di Rakhine dan Palestin di Gaza yang sudah kian lama berlanjutan sebelum mengatakan wilayah Jammu dan Kashmir juga telah ‘diceroboh dan diduduki’.

Kenyataan perdana menteri itu telah menimbulkan kemarahan rakyat India kerana mereka percaya Kashmir mempunyai kepentingan dengan India dan negara lain tidak hak untuk campur tangan urusan kedaulatan negara mereka.

Susulan kenyataannya itu, netizen yang dipercayai dari India, menyuarakan rasa kecewa mereka menerusi #BoycottMalaysia terhadap kenyataan yang antara lain menyebut Kashmir "ditawan dan dijajah".

Ketika ditanya sama ada kempen #BoycottMalaysia akan memberi kesan terhadap perdagangan atau pelaburan Malaysia, Dr Mahathir menjawab; “Saya tidak fikir begitu (tidak akan memberi kesan).”

Sementara itu, Mahathir berkata beliau tidak mendapat apa-apa maklum balas dari kerajaan India berhubung kenyataannya di UNGA.

"Saya tak dapat apa-apa, saya dah bercakap dengan Modi, kalau ada perasaan tak senang dia boleh berhubung dengan saya. setakat ini tiada apa-apa," katanya.

Lihat Komen
ADS