Lelaki dakwa dirinya Rasul pohon cabar enakmen jenayah syariah
Lelaki yang didakwa kerana mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul bagi orang Melayu dan mempersendakan ajaran Islam, hari ini menfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran mencabar kesahan lima peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
Lelaki yang didakwa kerana mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul bagi orang Melayu dan mempersendakan ajaran Islam, hari ini menfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran mencabar kesahan lima peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
Abdul Kahar Ahmad, 55, dari Kampung Kemensah, Ampang, memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Chooi & Company, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya jam tiga petang tadi.
Dia menamakan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden dalam permohonan tersebut.
Abdul Kahar memohon kebenaran mahkamah untuk mendapatkan perintah deklarasi bahawa seksyen 7, 8(a), 10(b), 12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJS) 1995, serta seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, adalah tidak sah dan terbatal mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.
Dihadap ke mahkamah
Pada 17 Ogos tahun lalu, Abdul Kahar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam terhadap lima tuduhan mengikut EJS, dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000.
Dia didakwa menjelaskan isu keagamaan yang bertentangan dengan ajaran Islam iaitu menyatakan sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar sahaja, serta ibadat haji sekarang ini sia-sia dan merugikan.
Menurut laporan Bernama, selain Abdul Kahar, dua lagi pengikutnya turut memfailkan permohonan yang sama bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mencabar kesahan seksyen 8(a) dan 16(1)(a) EJS.
Mazli Mansor, 47, dan Mat Razali, 42, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam bagi tuduhan mengikut seksyen 16 EJS pada 10 Ogos tahun lalu dan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi kesalahan mengikut seksyen 8 enakmen yang sama, 30 Nov 2005.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.